malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mokhtar mahu majlis syura ulama tapis calon Presiden PAS
Diterbitkan:  Jun 4, 2025 4:18 PM
Dikemaskini: 8:20 AM
ADS

Seorang pemimpin ulama PAS hari ini mencadangkan agar parti itu mewujudkan suatu mekanisme bagi mengawal pertandingan dua jawatan tertinggi – presiden dan timbalan presiden.

Menurut anggota Dewan UIama PAS Pusat, Mokhtar Senik, seseorang yang ingin bertanding bagi salah satu jawatan tersebut perlu melepasi tapisan majlis syura parti berkenaan.

Jika hanya ada dua nama yang layak, katanya, hadkan mereka saja yang bersaing.

“Yang tak layak, digugurkan oleh majlis syura,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Pandangan itu hadir ketika petanda wujud persaingan antara kelompok dalam PAS semakin ketara dengan beberapa kenyataan dibuat, termasuk daripada Mokhtar sendiri.

Beberapa hantaran media sosial Mokhar kebelakangan ini turut menekankan sokongannya agar jawatan presiden dan timbalan mesti diisi oleh agamawan, bukannya tokoh dari bidang lain.

Malah pada 1 Jun lalu Mokhtar – yang pernah menjadi calon PAS bagi kawasan parlimen Padang Besar - memilih untuk menyanggah pandangan setiausaha agung partinya, Takiyuddin Hassan.

Pada 2 Jun lalu pula sebuah NGO yang dekat dengan PAS, Geng Ustaz, turut mengeluarkan kenyataan keras berhubung kedudukan jawatan penting dalam parti itu menjelang pemilihan pada Sept nanti.

Mahu ‘langgar’ Hadi

Presiden Geng Ustaz, Ahmad Dusuki Abd Rani menyelar usaha “melanggar” Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dan menganggap gerakan tersebut sebagai penyakit “kudis lama” yang dibawa ke dalam parti berkenaan.

“Puak-puak yang mahu menolak kepimpinan TGHH (Abdul Hadi) ini memberikan alasan-alasan yang dangkal kononnya PAS akan lebih maju kehadapan sekiranya dipimpin oleh jurutera, professional walhal PAS telah berdiri dengan megah dan kuat pada hari ini, selama ini di bawah telunjuk, buah fikiran dan pimpinan kedua-duanya (Abdul Hadi dan timbalan, Tuan Ibrahim Tuan Man).

“Apakah kudis lama menjelma kembali di dalam PAS hari ini? Kudis yang cuba menukar asolah (keaslian) perjuangan parti Islam dengan cuba menukar nahkoda seperti yang pernah berlaku suatu ketika dulu?

“Puak-puak berkudis ini juga dilihat dengan jahatnya menyebarkan sangkaan-sangkaan jahat terhadap TGHH apabila menyebarkan video-video supaya TGHH dilihat daif dan kononnya tidak mampu lagi memimpin,” katanya.

Bagaimanapun setakat ini belum jelas siapa tokoh “profesional” atau kumpulan pendukung yang disebut-sebut mahu “melanggar” Abdul Hadi serta Tuan Ibrahim.

Majlis Syura Ulamak PAS adalah antara entiti paling berkuasa dan berkuasa untuk mentafsir serta menghuraikan aspek penting berkaitan parti berkenaan.

Dalam konteks pilihan raya badan itu menjadi rujukan utama sebelum mana-mana nama diberi restu untuk menjadi calon.


Baca 'Jika Presiden PAS berundur, jangan pintas timbalan naik'


Menurut Mokhtar langkah penapisan itu dicadangkan agar hanya individu yang benar-benar layak dipilih menduduki jawatan presiden dan timbalan presiden.

“Sebab saya bimbang semua orang merasakan dia layak,” katanya sinis.

Untuk rekod, Mokhtar merupakan timbalan Ahmad Dusuki dalam Geng Ustaz.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen