malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM mohon perintah beku aset Na'imah elak dilupuskan
Diterbitkan:  Jun 4, 2025 2:54 PM
Dikemaskini: 9:41 AM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon perintah untuk membekukan aset milik isteri Daim Zainuddin, Na'imah Abdul Khalid, dan keluarganya yang berada di luar negara.

Menurut New Straits Times, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata permohonan yang telah difailkan di mahkamah itu bertujuan menghalang pelupusan harta dan aset berkenaan.

“Dalam kes ini, kita telah mengemukakan permohonan mahkamah bagi perintah sekatan bagi membekukan aset yang berada di luar negara.

“Kita juga akan meneruskan siasatan lanjut ke atas akaun yang dirampas, kerana kita perlu memastikan ia tidak dilupuskan,” katanya.

Azam dilaporkan berkata bahawa tanpa perintah sekatan (restraining order), terdapat kemungkinan besar aset yang tidak diisytihar itu dilupuskan.

Akhbar New Straits Times (NST), memetik sumber tanpa nama, melaporkan bahawa SPRM sedang berusaha melucut hak tujuh hartanah dan satu akaun bank milik Na’imah serta keluarganya, yang didakwa gagal mengisytiharkan aset berkenaan.

Hartanah-hartanah tersebut dikatakan sebahagian daripada harta bernilai RM2 bilion yang dikaitkan dengan Allahyarham Daim dan keluarganya.

NST juga melaporkan bahawa aset yang dimaksudkan – digambarkan sebagai hartanah bernilai tinggi – dikenal pasti dalam lapan kertas siasatan yang baru-baru ini dibuka oleh SPRM.

Ditanya apakah SPRM turut menyiasat aset di luar negara, Azam dilaporkan berkata perkara itu sedang disiasat.

Pada 3 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan SPRM menyita tujuh hartanah milik keluarga Daim.

Antara yang disita melalui permohonan ex parte termasuk tiga kediaman mewah di London dan satu akaun bank yang dikatakan menyimpan RM758.2 juta.

Aset-aset ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfpuaa).

‘Tidak akan tunduk’

Tidak berpuas hati dengan perkembangan terbaru itu, Na’imah berkata dia tidak dimaklumkan mengenai tindakan terbaru SPRM dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.

Menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap undang-undang, Nai’mah berkata tindakan kerajaan menyita harta tanpa notis kepada pemilik sahnya mewujudkan satu duluan berbahaya.

“Peguam saya akan segera mencabar dan mengetepikan perintah tersebut.

“Saya akan mencabar perintah ini untuk mempertahankan apa yang tidak sepatutnya dirampas daripada mana-mana antara kita: hak kita, suara kita dan sebuah negara yang ditadbir oleh undang-undang, bukan oleh ketakutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyifatkan tindakan terbaru SPRM itu sebagai bermotifkan politik dan dendam, Na’imah berkata dia akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk mencabar tindakan tersebut dan berikrar “tidak akan tunduk kepada pembuli”.

“Satu garis telah dilangkaui. Jika kita tidak melawan, mungkin tiada lagi garis yang tinggal sama sekali, maka tiada rakyat Malaysia yang akan selamat daripada jangkauan kuasa yang tidak dikawal,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen