malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Warisan persoal k'jaan umum projek berdasarkan andaian
Diterbitkan:  Jun 4, 2025 8:52 AM
Dikemaskini: 3:18 AM
ADS

Seorang pemimpin Warisan mempersoalkan bagaimana jadual projek untuk kilang pembuatan keluli Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel Enterprise) – yang bernilai RM31 bilion – boleh dibuat hanya berdasarkan andaian.

Dalam satu kenyataan semalam, ahli majlis tertinggi parti itu, Calvin Chong, mendakwa Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe, telah mengelirukan orang ramai.

“Phoong berkata jadual asal projek Esteel Enterprise dengan jumlah pelaburan RM31 bilion disediakan berdasarkan andaian, dan pelaksanaan projek pelaburan ini menghadapi kekangan berikutan moratorium dua tahun yang dikenakan kerajaan persekutuan ke atas kelulusan lesen pembuatan bagi industri berkaitan keluli.

“Jadual projek pelaburan RM31 bilion disediakan berdasarkan andaian? Kenyataan Phoong mengelirukan rakyat Sabah, tidak masuk akal, tidak bertanggungjawab, dan cuba memperbodohkan masyarakat Sabah untuk menutup kegagalan projek itu.

“Adakah Phoong faham tentang maksud dan konsep pelaburan sebesar RM31 bilion yang dikatakannya?

“Ia merupakan pelaburan yang terbesar dalam sejarah – bukan hanya Sabah, malah di Malaysia sejak merdeka,” katanya.

Dia yang juga Adun Elopura berkata, projek berkenaan sepatutnya sudah hampir siap beroperasi memandangkan suku keempat 2025 sudah hampir.

Sebaliknya, menurut Chong, dia terkejut kerana pelancaran fasa pertama projek berkenaan hanya diadakan pada 30 Mei lalu.

Justeru, katanya, timbul persoalan terhadap keseriusan kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila mereka mendakwa fasa pertama akan bermula pada suku keempat 2023.

Pada masa sama, Chong berkata, mustahil pelabur terbabit sanggup melabur berpuluh bilion ringgit untuk membangunkan kilang tanpa diberikan kelulusan lesen pengilang serta wujudnya moratorium lesen ketika itu itu.

Justeru, katanya, apabila projek tersebut diumum Hajiji Noor pada Nov 2022, ketua menteri terbabit tidak bercakap benar.

Phoong Jin Zhe

Phoong kemudian menjelaskan jadual awal projek tersebut dibuat berdasarkan kepada andaian bahawa semua kelulusan kawal selia akan diperoleh tanpa berlengah-lengah.

Adun Luyang dari DAP itu berkata projek Esteel Enterprise menghadapi kekangan, termasuk moratorium dua tahun oleh kerajaan pusat.

Pun begitu, kata Phoong, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut membangkitkan perkara berkenaan semasa pelancaran projek tersebut.

"Kelulusan khas untuk FML (lesen pengilangan) hanya diberikan pada 24 Jan tahun ini yang memberi kesan kepada jadual asal projek justeru ia memerlukan penjajaran semula," kata Phoong.

Chong pula mendakwa bahawa insiden itu "jelas membuktikan kegagalan kerajaan GRS" dan Hajiji perlu bertanggungjawab kerana mengumumkan sebuah projek pelaburan "hanya berdasarkan andaian".

“Kegagalan ini menjadikan Hajiji dan Phoong sebagai bahan ketawa seluruh rakyat Malaysia.

“Mereka berdua langsung tidak mempunyai pengetahuan serta tidak layak untuk memegang jawatan masing-masing di Sabah,” katanya.

Chong juga mempersoalkan mengapa Hajiji meneruskan pengumuman projek itu pada Nov 2022 walaupun menyedari lesen yang diperlukan tidak dapat diperoleh pada masa itu.

Dia turut mendesak Phoong agar mendapatkan butiran terkini mengenai projek tersebut, termasuk jangkaan ia boleh disiapkan kerana lesen pembuatan hanya diberikan kepada Esteel Enterprise pada 24 Jan lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen