Seorang pemimpin Warisan hari ini mempersoalkan mengapa kerajaan Sabah dilihat meremehkan masalah bekalan air yang kritikal di Universiti Malaysia Sabah (UMS) meskipun terdapat bukti kukuh mengenainya.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pemuda Warisan Terence Au berkata perkara itu disahkan sendiri oleh Naib Canselor UMS, Profesor Kasim Mansur yang mengkritik dakwaan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bahawa bekalan air ke kampus tersebut sentiasa mencukupi.
“Untuk mengatakan bekalan sentiasa mencukupi adalah satu pembohongan. Ia menghina kebijaksanaan kami. Kami bukan bodoh.
“Kalau betul ada bekalan mencukupi, pelajar tidak akan bersuara, mereka tidak akan membantah,” katanya.
Au berkata kenyataan Kasim secara langsung bercanggah dengan dakwaan JANS dan kerajaan negeri pimpinan GRS sebelum ini bahawa bekalan air ke universiti tersebut mencukupi.
“UMS bukan sekadar sebuah institusi biasa; ia adalah universiti utama Sabah, lambang masa depan negeri ini. Jika pelajarnya sendiri dinafikan keperluan asas seperti air, apa sebenarnya keutamaan kerajaan?” soal Au.

Dia turut mempersoalkan mengapa usaha UMS untuk menangani isu tersebut sejak 2023 seolah-olah diabaikan atau dipandang remeh oleh JANS.
Menurut laporan, kenyataan JANS pada 29 Mei lalu mendakwa bahawa tangki “R13” di UMS “tidak pernah kosong” dan sebarang masalah berpunca daripada isu sistem pam dalaman.
Namun, Kasim dipetik sebagai berkata bahawa isu sebenar adalah lokasi UMS dan bagaimana bekalan air diagihkan.
Dia berkata tangki R13, yang dibina ketika universiti itu ditubuhkan pada 1995 dan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2000, turut membekalkan air ke kawasan lain termasuk Hospital Likas, Hypermall 1Borneo, bandar Alamesra, bandar Kingfisher, serta beberapa bangunan kerajaan.
Memandangkan UMS terletak di kawasan yang lebih tinggi, Kasim berkata universiti itu sering menerima bekalan air yang sangat sedikit atau langsung tiada bekalan, kerana aliran air mengutamakan kawasan yang rendah terlebih dahulu.
Menurut Kasim, UMS mula berdepan masalah kekurangan air seawal 2020 susulan pembangunan pesat di kawasan sekitarnya.
UMS memerlukan antara 3.5 hingga lima juta liter air setiap hari untuk menampung kira-kira 11,000 pelajar yang tinggal di kampus serta lebih 23,000 orang pada waktu siang.
Bagi menangani maslaah bekalan yang berterusan, UMS mengurangkan pengambilan air melalui pam pada 2023 ekoran bekalan yang kurang.
Namun, JANS dilaporkan mengenakan sekatan dengan memberi amaran kepada UMS agar tidak mengepam air apabila parasnya turun di bawah 0.5 meter, atas alasan untuk menjaga bekalan bagi pengguna lain, termasuk hospital.
Kasim dilaporkan berkata, banyak surat telah dihantar kepada JANS bagi merayu agar jabatan campur tangan namun dia tidak pernah menerima maklum balas rasmi.
“Kami menghasilkan modal insan, bukan air. Tugas kami adalah mengajar pelajar, bukan membekalkan air,” katanya.
Dia turut menolak dakwaan bahawa masalah tersebut berpunca daripada kerosakan peralatan.
“Mereka kata pam kami tak elok. Kami ada tiga pam – semuanya dalam keadaan baik. Hanya baru-baru satu pam rosak, dan ia dibaiki dalam masa tiga hari,” katanya lagi seperti yang dipetik.
Kemas kini berkala
The Star hari ini melaporkan Menteri Kerja Raya Sabah

berkata JANS akan mula memberikan kemas kini berkala setiap jam berhubung paras air di tangki R13 milik UMS, susulan kritikan daripada Kasim.
Katanya, ia bertujuan membantu UMS menyelaras jadual pengepaman air serta memastikan agihan bekalan yang lebih baik di kawasan kampus.
Shahelmey turut memaklumkan rekod JANS menunjukkan bekalan air ke UMS adalah konsisten sejak 19 Mei lalu.
Namun, katanya lagi, antara 14 hingga 19 Mei, salah satu pam milik UMS mengalami kerosakan yang mungkin telah menjejaskan bekalan air ke kampus.
Mohon maaf pada pelajar, rakyat
Sementara itu, Au mengkritik pentadbiran negeri dengan menyifatkannya telah mengkhianati kepercayaan rakyat.
“Sekarang apabila menteri kerja raya sendiri mengakui penunjuk aras tangki rosak dan pam tidak berfungsi, tidakkah ini secara langsung menunjukkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini sebagai mengelirukan?
“Ini bukan sekadar isu teknikal, ini adalah kegagalan tadbir urus….Akses kepada air bersih adalah hak asasi, bukan modal politik.
“Orang Sabah bukan bodoh. Kami menuntut ketelusan, kebertanggungjawaban dan penyelesaian menyeluruh terhadap masalah air di UMS.
“GRS mesti memohon maaf kepada pelajar UMS dan orang awam serta memastikan perkara ini tidak akan berulang,” kata Au.

