malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PSM: Kerajaan perlu tangani masalah gaji stagnan graduan baru
Diterbitkan:  Jun 3, 2025 9:47 PM
Dikemaskini: 1:47 PM
ADS

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan agar segera menangani masalah gaji stagnan dalam kalangan graduan baru, dan menyifatkan isu tersebut mencerminkan kegagalan besar dalam model ekonomi neoliberal.

Merujuk kepada dapatan Institut Penyelidikan PNB (PNBRI), PSM membangkitkan yang gaji permulaan pemegang ijazah kini hampir menyamai gaji pemegang SPM pada 2022, berbanding 2.7 kali ganda lebih tinggi pada 1997.

“Ini bukan sekadar statistik, tetapi gambaran nyata bahawa sistem ekonomi neoliberal tidak lagi berfungsi untuk graduan dan anak muda,” kata ahli Jawatankuasa Pusat PSM Gandipan Nantha Gopalan dalam kenyataan hari ini.

Dia menegaskan kerajaan perlu melihat perkara ini sebagai satu “amaran keras”.

“Apa gunanya rakyat berhempas pulas mendapatkan pendidikan tinggi jika gaji yang diperoleh selepas tamat belajar tidak cukup untuk menyara kehidupan? 

“Di manakah nilai kesejahteraan ekonomi yang selalu dicanang dalam ucapan-ucapan rasmi?” soalnya.

Kini dengan selesainya pemilihan PKR yang mengetuai kerajaan, kata Gandipan, kerajaan tiada lagi alasan untuk kerajaan tidak memberi tumpuan kepada reformasi ekonomi dan perlindungan kerajaan.

“Ini adalah masa untuk tindakan, bukan sekadar retorik politik,” katanya lagi.

Gandipan Nantha Gopalan

Gandipan turut mengkritik pelaksanaan dasar gaji progresif yang menurutnya belum menunjukkan keberkesanan dalam menangani masalah gaji stagnan.

Dia juga menggesa kerajaan untuk menjelaskan berapa banyak syarikat yang memilih untuk menyertai dasar itu dan berapa ramai graduan yang menikmati kenaikan gaji melaluinya.

“Hanya dengan statistik ini kita dapat menilai dan menambah baik dasar-dasar yang sedia ada,” katanya.

Dasar gaji progresif telah diperkenalkan sebagai inisiatif sukarela untuk menaikkan gaji pekerja Malaysia melalui insentif berasaskan produktiviti.

Menyasarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, seribu syarikat pertama yang layak dan mendaftar di bawah projek rintis itu dari 1 Jun hingga 31 Ogos tahun lalu diberikan sokongan kerajaan untuk menaikkan gaji pekerja mereka.

Secara khusus, kerajaan menawarkan subsidi kepada syarikat untuk menampung kos kenaikan gaji pekerja yang berpendapatan antara RM1,500 hingga RM4,999, bagi memenuhi garis panduan dasar gaji progresif.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk melaksanakan dasar itu sepenuhnya tahun ini, yang dijangka memberi manfaat kepada 50,000 pekerja.

Skim jaminan kerja

Sebagai penyelesaian struktural jangka panjang, PSM sekali lagi menggesa pelaksanaan skim jaminan kerja, di mana kerajaan menjadi majikan terakhir untuk menyediakan pekerjaan tetap dengan gaji sara hidup, perlindungan sosial dan kestabilan ekonomi untuk rakyat.

Antara sektor pekerjaan yang dicadangkan termasuk industri hijau, keterjaminan makanan, kesihatan, pendidikan, kerja sosial serta penyelenggaraan bangunan warisan dan kemudahan asas.

PSM turut mencadangkan agar minggu bekerja dikurangkan kepada 35 jam bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, serta agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan aktif dalam penciptaan pekerjaan dan bukan semata-mata mengejar keuntungan.

“Jika pendidikan tinggi tidak lagi menjanjikan kestabilan ekonomi, generasi baru akan lebih kecewa, dibebani hutang, dan hilang kepercayaan terhadap negara. Fenomena ini sangat bahaya untuk negara kita.

“Kerajaan tidak boleh terus menyerahkan nasib graduan kepada 'kuasa pasaran'. Model ekonomi berasaskan keuntungan maksimum ini telah gagal,” katanya lagi.

PSM turut mencadangkan satu perbincangan terbuka melibatkan semua pihak berkepentingan, seperti gerakan pekerja, persatuan pelajar dan parti progresif bagi merangka pelan tindakan segera untuk memulihkan sistem pekerjaan dan pendapatan di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen