Persatuan pengusaha stesen minyak terbesar di Malaysia hari ini menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dengan alasan isu margin yang belum diselesaikan boleh menyebabkan pengusaha mengalami kerugian.
Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), yang mewakili lebih 4,000 pengusaha stesen minyak di seluruh negara, meminta agar dasar itu ditangguhkan sehingga dua isu kritikal diselesaikan.
Aduan utama persatuan ini berkisar pada margin pengusaha (mekanisme penetapan harga automatik) yang menurut mereka telah dibekukan sejak tahun 2019.
Persatuan itu berkata, kadar tersebut tidak lagi mencerminkan kos operasi semasa.
PDAM berkata, pengusaha stesen minyak berskala kecil dan sederhana akan mengalami kerugian jika pelan rasionalisasi subsidi berkenaan dilaksanakan.
Isu kedua yang dibangkitkan melibatkan caj kadar diskaun peniaga (merchant discount rate, MDR).
“Caj MDR dikira berdasarkan peratusan daripada harga jualan, manakala komisen pengusaha pula dikira berdasarkan jumlah liter yang dijual. Apabila harga pam meningkat di bawah rasionalisasi subsidi RON95, caj MDR turut meningkat, tetapi komisen pengusaha kekal tidak berubah, menyebabkan margin semakin terhakis,” kata Presiden PDAM, Khairul Annuar Abdul Aziz dalam satu kenyataan.
Dia berkata, persatuan tersebut sebelum ini telah mengumpulkan lebih 2,300 tandatangan dalam satu petisyen di seluruh negara.
Khairul berkata, ia mewakili lebih 60 peratus daripada jumlah stesen minyak di Malaysia dan lebih 70 peratus daripada stesen jenama utama, termasuk Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHPetrol.
“Buat pertama kalinya, jenama tempatan seperti Five Petroleum, BuraqOil dan SmartStream turut serta.
"Ini merupakan tahap sokongan tertinggi dalam sejarah PDAM dan menjadi bukti jelas bahawa kebimbangan ini dikongsi secara meluas merentas jenama dan kategori stesen,” tambahnya.

