malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam Yusoff persoal PM mohon tangguh bicara 'di saat akhir'
ADS

Peguam kepada Yusoff Rawther mempersoalkan mengapa Perdana Menteri Anwar Ibrahim seperti melambatkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan saman yang difailkan pada 2021 oleh bekas pembantunya itu.

Rafique Rashid Ali menekankan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah menetapkan perbicaraan akan diadakan pada 16 Jun tahun ini.

Dalam prosiding hari ini, Rafique turut berhujah bahawa akses kepada keadilan harus diberikan kepada semua, tanpa keistimewaan khusus kepada mana-mana pihak yang memiliki kuasa.

“Tidak dapat dinafikan, apa yang kita semua tidak boleh nafikan ialah plaintif (Yusoff) telah memulakan tindakan sivil pada 14 Julai 2021, dan selepas itu defendan (Anwar) memfailkan pembelaan dan tuntutan balas pada 28 September tahun yang sama.

“(Anwar) telah dilantik sebagai perdana menteri pada 24 November 2022. Tarikh perbicaraan telah pun ditetapkan, namun pihak pembela memilih, pada saat akhir, untuk menukar peguam dan memfailkan (permohonan penangguhan) hanya 23 hari sebelum hari pertama perbicaraan.

“Lapan persoalan undang-undang ini telah mengambil masa 912 hari, dari 24 November 2022 hingga 23 Mei 2025,” kata Rafique semasa prosiding di depan hakim Roz Mawar Rozain dalam prosiding hari ini.

Rafique Rashid Ali

Permohonan tersebut bertujuan menangguhkan prosiding saman sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung lapan persoalan Perlembagaan mengenai sama ada Anwar, sebagai perdana menteri, mempunyai kekebalan bersyarat daripada tindakan sivil atau tidak.

Rafique menegaskan Anwar sebelum ini tidak pernah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut atau malah meminda pembelaan dan tuntutan balasnya.

“Prinsip undang-undang menyatakan apabila seseorang litigan (pihak yang terlibat dalam kes) memohon campur tangan mahkamah dalam sesuatu perkara yang memberi kesan kepada haknya, dia mesti berbuat demikian (pada masa yang wajar) — jika tidak, mahkamah boleh menolak permohonan daripada litigan yang lalai.

“Dalam semua kes kelambatan, beban terletak pada litigan untuk memberikan alasan yang memuaskan,” katanya lagi, sambil menyatakan bahawa Anwar juga “enggan” mengikrarkan sendiri dua afidavit berkaitan usahanya untuk merujuk persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa afidavit berkaitan telah diikrarkan oleh peguam Anwar, Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie.

Bagaimanapun, Rafique berhujah bahawa afidavit tersebut tidak menjelaskan punca kelambatan dalam permohonan Anwar. 

Dia juga berkata tindakan Anwar bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang serta perlindungan yang sama rata kepada semua warga.

Pada 2021, Yusoff memfailkan saman sivil dengan mendakwa dia telah diserang secara seksual oleh Anwar di pejabat Presiden PKR pada Oktober 2018.

Anwar kini sedang memohon keputusan daripada Mahkamah Persekutuan berhubung jika Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikannya kekebalan bersyarat daripada tindakan undang-undang.

Anwar turut meminta Mahkamah Persekutuan - yang merupakan mahkamah tertinggi negara - menentukan jika perbicaraan itu diteruskan, ia akan menjejaskan keupayaannya untuk melaksanakan tanggungjawab eksekutif dengan berkesan, serta melanggar doktrin pemisahan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan menyifatkan saman tersebut sebagai "tuduhan yang direka" dan mendakwa dirinya menjadi sasaran sabotaj politik terhadap reputasinya.

Ketika prosiding hari ini, peguamnya, Alan Wong berhujah bahawa perlindungan undang-undang yang diberikan kepada badan kehakiman sepatutnya turut diperluas kepada pihak eksekutif bagi menjamin pihak eksekutif dapat melaksanakan tugas dengan baik.

Merujuk kepada rujukan Perlembagaan terdahulu berkenaan jika hakim yang sedang berkhidmat boleh disiasat atau didakwa secara jenayah, pasukan peguam Anwar menyatakan mereka berhasrat untuk berhujah agar mahkamah mewujudkan satu “tapisan perlembagaan” dalam kes yang melibatkan anggota eksekutif.

“Kebimbangan kami ialah tindakan undang-undang sivil ini sedang digunakan sebagai usaha untuk menghalang perdana menteri yang sedang berkhidmat daripada menjalankan fungsinya.

“Kami tidak menuntut ‘kekebalan’ secara mutlak atau sempit, (tetapi) agar wujud keperluan undang-undang bagi mempertimbangkan ambang pertimbangan dalam kes seperti ini — yang dicemari unsur politik dan penyalahgunaan,” kata Wong.

Roz Mawar dijadual memberikan keputusannya berhubung permohonan Anwar esok.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen