malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Selepas MCA, Gerakan pula tuntut kerajaan jelaskan isu gas memasak
Diterbitkan:  Jun 3, 2025 4:42 PM
Dikemaskini: 8:44 AM
ADS

Selepas MCA, kini Gerakan pula menuntut kerajaan Perpaduan menangani kebimbangan dan ketakutan peniaga kecil berhubung langkah mewajibkan penggunaan silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial ke atas premis makanan.

Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata, kekurangan maklumat mengenai operasi penguatkuasaan ‘Ops Gasak’ oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyebabkan salah faham dalam kalangan peniaga kecil.

"Kerajaan harus menyelesaikan masalah ini dengan memberikan maklumat yang mencukupi kepada peniaga dan membantu mereka dalam permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB). Ini akan memastikan isu ini ditangani dengan menyeluruh," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, selain restoran dan gerai makan, sesetengah kedai dobi tradisional juga menggunakan gas LPG bersubsidi dalam operasi harian mereka.

"Jika kerajaan merasakan bahawa restoran tertentu tidak boleh menggunakan gas memasak domestik, maka syarat-syarat tersebut perlu dinyatakan dengan jelas untuk mengelakkan salah faham," tambahnya.

Mengulas lanjut, Dominic berkata kesan domino akan berlaku jika peniaga kecil dipaksa beralih kepada LPG komersial, yang harganya jauh lebih tinggi berbanding LPG domestik.

Dia juga menyatakan bahawa langkah itu boleh menyebabkan peningkatan kos harian sebanyak RM10 hingga RM20 jika peniaga beralih kepada gas komersial.

"Jika kita mengira dengan matematik yang mudah, pelaksanaan kenaikan tarif elektrik dan e-invois boleh menyebabkan peningkatan kos operasi keseluruhan peniaga kecil antara 10 peratus hingga 30 peratus.

"Jika peniaga tidak dapat menyerap kos tambahan ini, akhirnya ia akan tercermin dalam harga makanan dan minuman, yang akan membebankan rakyat," katanya.

Terdahulu, pelaksanaan wajib penggunaan gas LPG komersial 14 kilogram dikuatkuasakan ke atas premis makanan bermula 1 Mei lalu.

Menteri KPDN, Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa hanya premis berskala besar seperti hotel, restoran besar dan dapur industri yang menggunakan lebih tiga tong LPG dalam satu masa diwajibkan beralih kepada LPG komersial.

Presiden MCA, Wee Ka Siong sebelum ini mempersoal langkah berkenaan yang disifatkan akan memberi kesan domino kepada pengguna.

Bagaimanapun Armizan berkata pelaksanaan Ops Gasak yang bermula 1 Mei lalu bukanlah satu dasar atau peraturan baru, tetapi merupakan undang-undang sedia ada.

Dia berkata Ops Gasak bukan bertujuan untuk menarik subsidi gas petroleum cecair (LPG), tetapi untuk membanteras kegiatan haram pemindahan gas dari tong LPG bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi, penyeludupan dan penggunaan oleh industri berskala besar dan sederhana.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen