Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan dan rakan industri antarabangsa – termasuk dari United Kingdom (UK) –untuk membangunkan hab pensijilan dan kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diiktiraf pada peringkat serantau.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata hasrat kerajaan adalah untuk menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai negara yang melahirkan tenaga mahir, tetapi pusat rujukan latihan dan pensijilan TVET yang berwibawa dalam Asean.
“Bagi memenuhi kehendak pasaran Aseaa, kita ada Majlis TVET Asean dan akan aktifkan bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga kita mahu menggamit pelajar dari negara serantau untuk belajar di institusi TVET Malaysia tanpa mengurangkan peluang untuk pelajar kita belajar di institusi berkenaan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas menyampaikan ucapan umum berkaitan TVET di University College London (UCL) di London hari ini. Ia turut dihadiri pensyarah kanan dan pelajar institusi berkenaan.
Katanya bagi tujuan berkenaan, dia mengadakan perbincangan dengan beberapa menteri Asean yang bertanggungjawab dalam bidang guna tenaga dan pekerjaan bagi kerjasama serantau dalam pembangunan TVET.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara dalam ucapannya berkata Malaysia bersedia menjadi platform global dalam melahirkan bakat TVET bertaraf dunia dan bersedia untuk pasaran industri.
“Kita sedia memimpin, tetapi kita sedar kita tidak boleh melakukannya bersendirian.
“Kita akan mencapainya melalui kerjasama erat dengan Asean, rakan global, serta warga Malaysia di luar negara yang berkongsi visi membina generasi yang mahir, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyatakan, pada tahun lalu kemasukan pelajar ke institusi TVET melonjak kepada 436,285 orang dengan 53.5 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jumlah itu, katanya, menggambarkan petanda positif perubahan persepsi rakyat terhadap TVET yang kini tidak lagi dianggap sebagai pilihan kedua.
Ahmad Zahid berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah Dialog Dasar Serantau Majlis TVET Asean ke-4 yang bertemakan TVET untuk Kemajuan Luar Bandar dan Serantau pada bulan ini sempena Hari TVET Kebangsaan 2025.
Pada dialog berkenaan, katanya, delegasi dari Asean, Australia dan Jerman akan membincangkan peranan TVET dalam mendorong pertumbuhan inklusif, memperkasakan belia dan memajukan komuniti luar bandar serta pertukaran inovasi, kerjasama industri dan transformasi negara.
- Bernama

