Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan lebih 40 peratus pesakit yang menggunakan perkhidmatan dialisis di Semenanjung Gaza meninggal dunia sejak Okt 2023 susulan serangan Israel ke atas kemudahan kesihatan, kekangan akses perubatan, dan perpindahan penduduk yang berterusan, lapor Anadolu Ajansi.
Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap PBB Stephane Dujarric semasa sidang akhbar melaporkan puluhan orang terbunuh dan cedera dipercayai ketika berkumpul untuk mendapatkan bekalan berhampiran pusat agihan yang dikawal tentera di Rafah dan Deir al Balah.
Katanya serangan berterusan Israel ke atas infrastruktur kesihatan telah menjejaskan perkhidmatan termasuk di Pusat Dialisis Noura Al Kaabi di Gaza Utara yang diserang pada Ahad.
“Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 40 peratus pesakit dialisis di Gaza meninggal dunia sejak permusuhan memuncak pada Okt 2023. Ini kerana pusat rawatan sama ada diserang atau tidak dapat diakses,” katanya.
Dujarric turut memberi amaran mengenai perpindahan penduduk yang semakin meningkat di seluruh wilayah itu.
“Pada Sabtu, pihak berkuasa Israel mengeluarkan satu lagi arahan perpindahan di Khan Younis dan Deir al Balah.
“Ia menjejaskan kira-kira 100,000 penduduk di lebih 200 tapak perpindahan,” katanya.
Secara keseluruhan, kata Dujarric , sejak 18 Mac rakan kemanusiaan menganggarkan lebih 640,000 orang – atau hampir satu per tiga daripada keseluruhan penduduk Gaza – telah berpindah semula di seluruh wilayah itu.
Walaupun lebih 300 trak bantuan telah dibawa masuk ke Gaza dari lintasan Kerem Shalom, akses masih tidak konsisten.
“Hari ini, satu daripada percubaan kami untuk mengambil bekalan dari Kerem Shalom telah ditolak,” kata Dujarric.
Israel terus melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza sejak Okt 2023 sambil menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, menyebabkan hampir 54,500 penduduk Palestin terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Agensi bantuan turut memberi amaran mengenai risiko kebuluran dalam kalangan lebih dua juta penduduk di wilayah itu.
Pada Nov lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas menteri pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa susulan jenayah perangnya terhadap orang awam di wilayah itu.
- Bernama/Anadolu

