Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe menafikan dakwaan Adun Elopura Calvin Chong, berhubung dakwaan kelambatan projek pelaburan keluli Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip).
Phoong berkata kerajaan Sabah sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi memastikan semua pelaburan memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.
“Pelaburan syarikat Esteel ini sudah pasti akan memberi limpahan ekonomi yang besar kepada negeri ini, termasuk penciptaan peluang pekerjaan kepada anak tempatan dan peluang perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 30 Mei lalu, Ketua Menteri Hajiji Noor bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan fasa pertama projek Esteel bernilai RM6.4 bilion.
Namun, Chong mempersoalkan masa projek itu dilancarkan, merujuk kenyataan media bertarikh 30 November 2022 semasa pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah antara Sogip dan Esteel – yang turut disaksikan Hajiji – yang menyatakan projek akan bermula suku keempat 2023 dan siap suku keempat 2025.
Katanya, pengerusi Sogip ketika itu mengumumkan projek itu akan menjana kesan limpahan ekonomi yang besar, termasuk 10,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan semasa peringkat pembinaan dan 1,752 peluang pekerjaan apabila ia beroperasi sepenuhnya, selain tambahan 8,000 peluang pekerjaan secara langsung.

“Beberapa bulan lagi menjelang suku keempat 2025 dan sepatutnya projek tersebut masuk ke tahap siap sedia untuk beroperasi.
“Sangat mengejutkan apabila melihat pelancaran projek fasa pertama baru dilancarkan semalam (30 Mei).
“Adakah ini bermakna komitmen Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada masa itu berhubung projek fasa pertama dijanjikan bermula pada suku keempat 2023 adalah pembohongan?” soal Chong.
‘Publisiti murahan’
Menjawab dakwaan itu, Phoong menyifatkan kenyataan Chong sebagai tidak bertanggungjawab dan menuduhnya cuba meraih publisiti murahan dengan menyebarkan maklumat tidak benar.
Dia menjelaskan jadual asal projek disediakan berdasarkan andaian bahawa semua kelulusan peraturan akan diperoleh tanpa sebarang kelewatan.
“Bagaimanapun, pelaksanaan projek pelaburan ini telah mengalami sedikit kekangan, antaranya disebabkan oleh pelaksanaan moratorium dua tahun oleh kerajaan Persekutuan ke atas kelulusan Lesen Pengilang (FML) bagi industri berkaitan keluli, sebagaimana yang telah disentuh Perdana Menteri semasa ucapan pelacarannya.
“Kelulusan khas hanya diperoleh pada 24 Januari 2025, yang seterusnya memberi implikasi terhadap jadual asal pelaksanaan projek dan menyebabkan penyelarasan semula perlu dilakukan,” kata Phoong.
Katanya lagi, rundingan melibatkan bekalan gas asli – yang amat penting bagi operasi loji – turut menyebabkan kelewatan.
“Hasil usaha bersepadu ini berjaya disempurnakan pada tahun ini dan telah dimuktamadkan secara rasmi melalui Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Pembekalan Gas Asli antara Petronas, Sabah Energy Corporation (SEC) dan Esteel pada 28 Februari lalu,” katanya.
Phoong turut menjelaskan peningkatan jumlah pelaburan kepada RM31 bilion dalam tiga fasa – berbanding anggaran awal RM19.6 bilion – adalah hasil pelarasan berdasarkan anggaran kos terkini dan perancangan teknikal syarikat.
“Penyesuaian nilai ini adalah perkara biasa dalam pembangunan projek pelaburan berfasa apabila reka bentuk teknikal, skop kerja dan kos semasa ditentukan secara lebih terperinci.
“Proses sebegini juga mengambil kira kadar pertukaran mata wang, nilai bahan binaan dan peningkatan kos teknologi,” katanya.
Dia berkata Esteel mengambil pendekatan bertanggungjawab dengan membuat semakan mendalam ke atas reka bentuk loji dan keperluan teknikal sebelum memperoleh kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Ini termasuk penilaian terhadap aspek keselamatan, kelestarian alam sekitar dan kesesuaian utiliti sedia ada.
“Oleh itu, walaupun pelaksanaan fizikal projek mungkin kelihatan perlahan pada pandangan luar, ia sebenarnya sedang bergerak ke hadapan secara sistematik berdasarkan tahap pematuhan peraturan dan kebolehlaksanaan teknikal,” kata Phoong lagi.
Dia menyeru agar semua pihak menjaga reputasi Sabah sebagai destinasi pelaburan yang boleh dipercayai.
“Semua pihak seharusnya bekerjasama bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini serta mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan untuk jangka panjang,” katanya lagi.
Dia berkata kementeriannya akan terus menyokong usaha mempercepat pelaksanaan projek demi manfaat ekonomi Sabah dan penduduknya.
Terdahulu, Sabah Oil and Gas Development Corporation berkara projek tersebut berpotensi menjadikan Sabah sebagai hab industri dan tenaga utama serantau, dengan kesan positif terhadap peluang pekerjaan, pendidikan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

