Di saat kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun, Malaysiakini mengajukan satu persoalan: patutkah had umur turut dikenakan ke atas ahli politik, terutama menteri dan ahli Parlimen.
Tidak mengejutkan, apabila soalan ini diajukan kepada ahli politik, jawapan yang diberikan berbeza mengikut umur mereka.
Kalangan pemimpin muda lebih cenderung menyokong had umur persaraan bagi ahli politik bagi memberi ruang kepada idea baru, manakala tokoh-tokoh yang lebih berusia pula menolak cadangan tersebut atas sebab pengalaman dan sumbangan masa lalu masih penting dalam perkhidmatan awam.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda Rashifa Aljunied, 26, memberi peringatan bahawa apabila ahli politik veteran enggan berundur, “kesan buruk” boleh berlaku apabila pemimpin muda dinafikan peluang untuk memimpin.
“Dengan terus memegang jawatan melebihi umur persaraan lazim, ahli politik yang lebih tua menangguhkan peralihan kepimpinan yang sangat diperlukan – peralihan yang mencerminkan realiti baru, cabaran baru dan idea baru.
“Jika kita mahukan masa depan yang berbeza, kita perlu bermula dengan memberi ruang kepada orang muda untuk memimpin,” katanya.

Menyuarakan sentimen yang sama, Naib Presiden Muda Dobby Chew, 35, berkata politik dan mereka yang terlibat di dalamnya perlu sentiasa berpandangan jauh, dinamik dan selari dengan keperluan semasa.
“Jika purata umur ahli politik – terutama mereka yang memegang jawatan tinggi – jauh lebih tua daripada populasi umum, sukar untuk melihat mereka sebagai wakil yang berkesan dalam mewakili Malaysia secara keseluruhan dan menyediakan kepimpinan dan wawasan yang perlu untuk negara.
“Seorang pemimpin yang membina pengalaman antara tahun 1970-an hingga 1990-an adalah orang yang sangat baik untuk memberikan nasihat, tetapi bukan orang yang seharusnya mengawal dan menentukan dasar pada hari ini, terutama jika sudah melepasi usia 100 tahun,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, sementara Chew menyokong had umur persaraan bagi jawatan eksekutif seperti Perdana Menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dia menegaskan ia tidak sepatutnya dikenakan kepada wakil rakyat.
“Rakyat sememangnya dan seharusnya menjadi penentu akhir kepada siapa yang bertanding dan mewakili mereka,” katanya.
Sebahagian pemimpin muda menyokong had umur mandatori, manakala yang lain lebih menekankan kepada perubahan nilai di dalam sistem.
Ahli Parlimen DAP Syerleena Abdul Rashid, 44, berkata meskipun had umur tetap barangkali bukan sesuatu yang perlu, ada keperluan untuk budaya politik yang mengutamakan pembaharuan, akauntabiliti dan merit berbanding senioriti.
Katanya, walaupun pengalaman penting dalam kepimpinan, ahli politik perlu tahu bila masa yang sesuai untuk menyerahkannya kepada generasi lebih muda.
“Kepimpinan bukan tentang legasi, tetapi tentang khidmat. Beberapa idea terbaik yang saya lihat datang daripada rakyat Malaysia muda yang bijak, berwawasan dan dekat dengan cabaran semasa.
“Kalau kita benar-benar ambil berat tentang masa depan negara, kita perlu buka jalan kepada generasi baru untuk memimpin dan mencorak masa depan,” kata ahli Parlimen Bukit Bendera itu.
Tentang Dr Mahathir
Seorang ahli politik muda yang menolak idea had umur ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, 38.
Dia berkata tidak perlu untuk memaksa ahli politik bersara jika khidmat mereka masih diperlukan.
Ahli Parlimen Machang itu memberi contoh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang bakal mencecah umur 100 tahun Julai ini, dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang berusia 78 tahun.
“Mahathir sudah bersara secara rasmi sebagai wakil rakyat, tetapi dia tidak akan pernah bersara sebagai ahli politik. Dia akan meninggal dunia sebagai ahli politik dan negarawan.
“Walaupun kesihatan Hadi merosot, kepimpinan dan kebijaksanaan politiknya masih penting kepada PAS,” katanya.

Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, 60, turut bersetuju dan berkata tugas utama ahli politik adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan tanggungjawab itu melangkaui batasan umur atau pekerjaan biasa.
“Pada usia 100 tahun, (Mahathir) masih aktif membantu rakyat, berinteraksi dengan pelbagai pihak, membina negara yang kuat dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.
“Pada usia 100 tahun, (Mahathir) masih aktif membantu rakyat, berinteraksi dengan pelbagai pihak, membina negara yang kuat dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mahathir kini menjadi penasihat kepada negeri-negeri yang ditadbir PN.
Had penggal lebih praktikal
Tanggapan bahawa umur hanyalah angka turut dikongsi Ahli Parlimen PKR William Leong, 68, yang berpandangan masih ada ahli politik yang cekap meskipun telah berusia 90 atau 100 tahun.
Justeru, katanya, tiada keperluan untuk menetapkan umur persaraan buat ahli politik dan rakyat sendiri akan menentukan sama ada mana-mana ahli politik itu masih boleh berkhidmat atau tidak.
“Ahli politik yang kurang berkesan hanya kaan bertahan satu penggal – lima tahun – jika tidak dipilih semula. Yang bagus pula akan terus berkhidmat selagi mendapat sokongan pengundi,” kata ahli Parlimen Selayang itu lagi.
Mengambil jalan tengah, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata PSM lebih fokus untuk menetapkan had penggal jawatan, seperti yang dipraktikan dalam parti itu sendiri.
Dia berkata walaupun had umur mungkin sukar dilaksanakan secara menyeluruh memandangkan politik melibatkan pelbagai peringkat umur, had penggal boleh menjadi penyelesaian menang-menang.
“Kita kena imbangkan antara hak demokratik rakyat untuk memilih wakil mereka dan masalah ahli politik yang terlalu lama memegang jawatan…mungkin bagi jawatan perdana menteri, boleh hadkan kepada dua penggal,” katanya.

Kerajaan kini sedang meneliti undang-undang had penggal untuk jawatan perdana menteri.
Perdebatan mengenai umur persaraan ahli politik timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, 61, mencadangkan agar umur persaraan wajib dinaikkan kepada 65 tahun.
Azalina – yang membuat cadangan itu atas kapasiti peribadi – berkata adalah merugikan jika individu bersara pada usia 60 tahun jika mereka masih cergas, produktif dan berupaya untuk terus memberi sumbangan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang akan mencecah usia 78 tahun, berkata cadangan tersebut ada merit dan telah mengarahkan kerajaan meneliti perkara itu.
Pada masa ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam di Malaysia ialah 60 tahun, selaras dengan umur persaraan minimum sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.
Cadangan untuk menaikkan umur persaraan tersebut telah mengundang kritikan, termasuk daripada Muda, yang berkata ia mengabaikan kegagalan strukturall yang memaksa warga emas untuk terus bekerja demi kelangsungan hidup.

