malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis tahan seorang lelaki bersama 365kg syabu
ADS

Polis Perlis merampas 365 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM13.14 juta, susulan penahanan seorang lelaki berusia 40 tahun di Kampung Belat Batu, Beseri dekat Padang Besar semalam.

Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim berkata rampasan dan tangkapan itu dibuat pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, pada 3.30 pagi atas maklumat diterima.

Dia berkata suspek dilihat keluar daripada kereta Proton Waja dan menuju ke Toyota Vios sebelum ditangkap.

“Hasil pemeriksaan dalam Toyota Vios membawa kepada penemuan 17 guni berjahit mengandungi dadah disyaki syabu dipercayai dibawa dari Thailand,” katanya pada sidang media di IPK Perlis di Kangar hari ini.

Muhammad berkata siasatan awal mendapati suspek menggunakan kawasan hutan di Padang Besar sebagai transit sebelum dadah yang boleh digunakan 3.6 juta penagih itu, dihantar ke selatan tanah air.

Dia berkata lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Muhammad berkata seorang lelaki warga Thailand berusia 30 tahun ditahan bersama dua bungkusan ketulan ganja mampat seberat dua kilogram, disembunyikan dalam tong sampah di kawasan Taman Singgah Sana, Padang Besar pada 2.15 pagi semalam.

“Dadah itu dianggarkan bernilai RM6,200 dan boleh digunakan kira-kira 20,000 penagih,” katanya. 

Dia berkata suspek dua kes tersebut didapati positif methamphetamine dan direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen