malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Karikatur sindir Razman: Polis digesa henti siasat Ketua Pemuda DAP
Diterbitkan:  Jun 2, 2025 4:54 PM
Dikemaskini: 8:54 AM
ADS

Adun DAP Lee Chin Chen menggesa polis supaya menghentikan siasatan terhadap Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong  berhubung karikatur yang memaparkan Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria sebagai badut selepas dia didakwa membuat kenyataan fitnah.

Lee yang merupakan Adun Bilut dan Ketua DAP Pahang mengingatkan pihak berkuasa bahawa karikatur satira terhadap ahli politik bukanlah jenayah, tetapi satu cara untuk menyuarakan pandangan, rasa tidak puas hati dan kritikan terhadap pemimpin yang dilihat menyalahgunakan pengaruh mereka dan menyebarkan kebencian.

“Karikatur tersebut adalah satu bentuk ekspresi seni satira yang menyampaikan kritikan terhadap kenyataan-kenyataan ekstrem dan penuh fitnah oleh Razman.

“Razman telah sering kali memfitnah, antaranya termasuk melontarkan serangan jahat terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

“Sekiranya ahli politik seperti Razman bebas menyebarkan fitnah dan kebencian tanpa sebarang pertanggungjawaban, tetapi mereka yang menyampaikan kritikan pula disiasat dan ditekan, maka sistem demokrasi dan kebebasan bersuara akan terancam,” kata Lee dalam kenyataan.

Woo Kah Leong dan Razman Zakaria

Pada 22 April lalu, Woo yang juga Adun Pasir Bedamar secara sinis mencadangkan agar Razman balik ke gua dan menjauhkan diri daripada media sosial.

Ia selepas Razman yang mesra dengan panggilan Pak Teh memberi reaksi negatif terhadap karikatur yang disiarkan Woo yang menggambarkannya sebagai badut.

Razman  kemudian menuntut Woo untuk memohon maaf dan menurunkan karikatur berkenaan jika tidak ingin berdepan tindakan undang-undang.

Mengulas lanjut, Lee berkata siasatan terhadap Woo bukan sahaja tak masuk akal dan keterlaluan, malah berisiko mencetuskan amalan penindasan politik, atau “white terror”, yang akan mengancam asas kebebasan bersuara di negara ini.

Katanya lagi, karikatur tersebut adalah ekspresi politik yang sah di sisi undang-undang, dan merupakan sebahagian daripada budaya politik matang di negara-negara demokrasi di seluruh dunia.

“Jika Razman tidak bersetuju dengan kandungan satira tersebut, dia seharusnya tampil dengan hujah dan fakta, bukannya berselindung di belakang polis untuk menyekat kritikan.

"Saya menyeru agar pihak polis kembali kepada prinsip keadilan dan profesionalisme. Jangan biarkan institusi yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat digunakan oleh menjadi alat kepada pihak tertentu untuk membungkam suara rakyat," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen