Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini bertitah tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat baginda sempena sambutan hari keputeraannya selain melihat rakyat Malaysia bersatu padu.
Pada masa sama baginda mengingatkan bahawa ada bahaya yang sedang melanda negara iaitu perbalahan dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Justeru Sultan Ibrahim memberi peringatan kepada para pemimpin agar mengambil langkah yang berhati-hati termasuk melibatkan hal ehwal dalaman parti masing-masing.
“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif yang akan menimbilkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.
“Begitu juga apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan berpecah belah dan makin benci membenci
“Gunalah akal sebelum buat sebarang keputusan.
“Tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat saya selain daripada rakyat yang bersatu padu,” titah baginda di Kuala Lumpur hari ini sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi.
Baginda juga mengingatkan tentang suatu “virus” berbahaya sedang melanda negara.
Menurut Sultan Ibrahim virus tersebut sedang menular dalam kalangan orang ramai malah kelihatan tidak boleh diubati.
Bagaimanapun baginda tidak menyatakan secara terbuka virus yang dimaksudkan itu.
“Awak fikirlah sendiri apa virusnya itu. Saya sering ingatkan perkara ni supaya kita tidak mudah lupa.
“Berilah saya hadiah perpaduan yang kukuh,” katanya.
MP jangan guna duit pancing undi
Titah Sultan Ibrahim itu hadir tidak lama selepas pemilihan peringkat pusat PKR berakhir yang menyaksikan perjalanannya diwarnai dengan kempen yang panas dan tegang.
Tumpuan utama konflik itu berkisar di sekitar persaingan jawatan timbalan presiden yang menyaksikan penyanjang, Rafizi Ramli, gagal mempertahankan jawatannya. Dia kalah kepada Nurul Izzah Anwar.
Ia menjadikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu orang nombor dua berkuasa dalam PKR selepas Anwar Ibrahim.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan kemudian mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai menteri ekonomi, sebelum diikuti seorang lagi anggota kabinet, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi gagal mengekalkan kedudukannya sebagai naib presiden.
Tempatnya diisi bekas Bendahari Agung MIC yang kini menjadi Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan.

Dalam ucapan yang sama, Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan agar semua ahli politik – termasuk dalam kalangan menteri – cermat apabila menggunakan dana awam.
“Setiap perbelanjaan mesti dikawal rapi dan tak boleh digunakan sesuka hati oleh menteri atau ahli parlimen untuk memancing undi sampai menyebabkan hutang kerajaan bertambah besar,” titah baginda.
Dalam kalangan penjawat awam pula, Sultan Ibrahim menitahkan supaya mereka menjalankan tugas dengan baik berpandukan prinsip, bukannya mengikut kehendak ahli politik.
“Semua agensi penguat kuasa mestilah berani. Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan dan tidak hormat uniform yang dipakai,” kata baginda lagi.

