Pemuda MCA hari ini menyarankan DAP agar “tidur” atau “goyang kaki” jika mereka berpendapat tidak lagi mampu “membantu rakyat” seperti yang dilakukan parti komponen BN berkenaan.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, mendakwa ketika ini mereka sebenarnya sedang gigih menyuarakan apa yang sedang dirasai oleh rakyat di negara ini.
Contohnya, kata Neow, MCA membangkitkan isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta inisiatif MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Yang terbaru, kata Neow, ialah isu tong gas LPS untuk kegunaan sektor komersial yang akan menyebabkan peniaga tiada terpaksa menaikkan harga jualan kerana kos operasi meningkat.
“Kenapa DAP triggered atau terkesan sangat emosinya apabila MCA mengangkat suara rakyat, memperjuangkan isu negara dan menyatakan kebenaran?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia juga memetik kenyataan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan, yang dianggap Pemuda MCA sebagai angkuh kerana mencadangkan agar parti itu keluar dari kerajaan perpaduan.
“Salahkah MCA membela nasib rakyat?
“Kalau DAP tak mampu nak membantu rakyat, nak selesaikan masalah, maka pergilah balik rumah goyang kaki dan tidur.
“Rakyat ada MCA dan BN. Kami sentiasa mendahulukan rakyat,” katanya.
Anggap DAP makin rakus
Semalam Syahredzan menyarankan agar MCA meninggalkan kerajaan ekoran tindak-tanduk parti itu – khususnya presiden, Wee Ka Siong – yang disifatkannya menyerang Puutrajaya dari semasa ke semasa.
Antara kes yang menjadi contoh Syahredzan ialah tindakan Wee membangkitkan isu gas LPG bersubsidi.
Ia lantas mengundang reaksi pantas Pemuda Umno Malaysia apabila ketuanya, Akmal Saleh, mencabar Syahredzan agar membuat usul agar BN sendiri keluar dari kerajaan perpaduan.
Dalam kenyataannya hari ini Neow turut mengucapkan penghargaan kepada Akmal kerana menjadi pihak yang terawal membela MCA.
“Terima kasih DAP si musang berbulu ayam kerana telah membuka topeng dan menunjukkan wajah sebenar mereka sebagai penghasut serta pemecah-belah semata-mata mahu menguatkan diri sendiri.
“Mereka semakin rakus dan pentingkan diri sendiri setelah berkuasa,” katanya.

