malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gugur senator Zafrul? Umno tak boleh pakai akta antilompat
ADS

Umno dilaporkan sedang mendapatkan pandangan pakar perundangannya untuk mencari jalan menggugurkan jawatan senator yang disandang Tengku Zafrul Abdul Aziz – khususnya melalui undang-undang antilompat parti negara ini.

Langkah itu dibuat susulan tindakan Zafrul keluar daripada Umno dan berhasrat menyertai PKR – sesuatu yang mengurangkan bilangan wakil Umno dalam kabinet.

Namun begitu, ada satu masalah. Undang-undang antilompat parti yang turut dirangka dengan kerjasama Umno tidak terpakai kepada jawatan senator.

Peruntukan Perlembagaan di bawah Perkara 49A secara jelas menyatakan tindakan lompat parti hanya boleh dikenakan terhadap ahli dalam “Dewan Rakyat” seperti dinyatakan dalam dokumen tertinggi negara itu.

Senat disebut secara berasingan dalam Perlembagaan, atau Dewan Negara dalam versi Bahasa Melayu.

“Tidak (ia tidak boleh digunakan terhadap senator), Seksyen 49A hanya merujuk kepada ahli Dewan Rakyat, bukan kepada senator,” kata peguam New Sin Yew kepada Malaysiakini ketika ditanya untuk mengesahkan bagaimana undang-undang anti-lompat parti itu berfungsi.

Tempoh pelantikan senator tetap selama tiga tahun setiap penggal – maksimum dua penggal – seperti diperuntukkan dalam perlembagaan.

Tempoh ini juga tidak terkesan walaupun parlimen dibubarkan.

Peguam GK Ganesan pada tahun 2018 berpendapat mungkin satu-satunya cara untuk menggugurkan jawatan seorang senator yang masih hidup melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Tanpa saluran perundangan untuk menggugurkan Zafrul, Umno mungkin terpaksa menggunakan tekanan politik jika mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengembalikan keseimbangan dan kuota Umno dalam kabinet.

Bagaimanapun, Anwar telah menyatakan dia mahu Zafrul kekal sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri – dengan alasan prestasi Zafrul yang berjaya membawa masuk pelaburan bernilai berbilion ringgit ke negara ini.


BACA BERKAITAN:

Anwar serah menteri ekonomi pada Umno, tukar dengan Zafrul?


Zafrul pertama kali dilantik sebagai senator pada Mac 2020 oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Pada ketika itu, dia bukan anggota aktif mana-mana parti.

Namun, pada tahun 2022, dia menjadi ahli aktif Umno, sebuah parti yang didakwanya telah disertainya sejak 1997.

Dia kemudian meletakkan jawatan sebagai senator pada Oktober 2022 untuk bertanding kerusi parlimen Kuala Selangor, namun tewas.

Dia kemudian dilantik semula sebagai senator pada Disember tahun itu apabila Anwar melantiknya ke dalam kabinet.

Zafrul turut bertanding dan menang jawatan dalam Majlis Kerja Tertinggi Umno pada Mac 2023.

Namun setahun kemudian, hubungannya dengan parti itu mula renggang menyebabkan dia meletakkan jawatan sebagai bendahari Umno Selangor pada April 2024.

Dia mula menyuarakan minat menyertai PKR lewat tahun itu, sebelum akhirnya membuat keputusan muktamad dengan keluar daripada Umno pada hari Jumaat.

Namun, Anwar yang juga presiden PKR menyatakan parti itu masih belum membincangkan permohonan keahlian Zafrul.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen