NGO Lawyers for Liberty (LFL) menggesa polis menghentikan siasatan terhadap Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhubung penganjuran bengkel kesedaran kesihatan berkaitan LGBTQ+.
Pengarah LFL, Zaid Malek mendakwa siasatan terhadap bengkel itu dilakukan tanpa asas perundangan yang sah dan disifatkannya sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa serius oleh pihak berkuasa.
Ini susulan kenyataan Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan semalam bahawa siasatan telah dimulakan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
"Undang-undang keseksaan yang disebut tidak mempunyai kaitan atau kaitan dengan peristiwa itu. Seksyen 298A Kanun Keseksaan melarang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atau menjejaskan pengekalan keharmonian atau perpaduan atas alasan agama, manakala Seksyen 233 CMA adalah untuk penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

“Acara yang jelas dinyatakan oleh penganjur adalah untuk menyampaikan maklumat kesihatan seksual, tidak menyalahi undang-undang ini kerana ia tidak ada kaitan dengan menghina mana-mana agama atau dengan penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar,” kata Zaid.
LFL turut menegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar yang mengecam bengkel tersebut dengan mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
Menurut Zaid, meskipun Islam merupakan agama Persekutuan, ia tidak memberi justifikasi kepada kerajaan untuk bertindak sesuka hati.
"Oleh itu, itu tidak boleh menjadi alasan untuk mengatakan bahawa acara itu menyalahi undang-undang atau tidak berperlembagaan dan adalah sangat tidak bertanggungjawab bagi seorang menteri yang bersidang untuk membuat kenyataan melulu seperti itu," kata Zaid.

Tambahnya lagi, bengkel kesihatan awam seperti itu tidak menyinggung Islam yang menekankan nilai belas kasihan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan.
Zaid juga menegaskan hak kebebasan bersuara dan berhimpun dijamin oleh Perlembagaan.
“Oleh itu, kami menggesa kerajaan dan polis menghentikan serta-merta siasatan menyalahi undang-undang ke atas bengkel kesedaran kesihatan LGBTQ+ Pemuda PSM.
“Kerajaan juga perlu memastikan menteri tidak secara tidak bertanggungjawab membuat kenyataan yang tidak mempunyai asas undang-undang dan menimbulkan kebencian terhadap kumpulan minoriti.
Ugutan bunuh, kebencian pada PSM
“Mereka, seperti semua rakyat Malaysia, berhak mendapat hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Semalam, Pemuda PSM mengumumkan penangguhan program “Pride Care: Kisah Queer & Kesedaran Kesihatan Seksual” atas faktor keselamatan.
Pengerusinya, Amanda Shweeta Louis berkata reaksi masyarakat serta kenyataan Na’im menunjukkan peningkatan kebencian walaupun objektif program tersebut mencegah jangkitan penyakit kelamin.
Dia mendakwa komen Na’im juga menyebabkan ancaman kebencian dan ugutan bunuh terhadap PSM meningkat di media sosial.
Dalam kenyataan pada 29 Mei lalu, Na’im menegaskan kerajaan menolak sebarang usaha menormalisasi budaya LGBTQ+.
Menurutnya, penganjuran program seperti itu mencabar nilai moral dan agama masyarakat Malaysia, walaupun diadakan secara tertutup.
Dia turut mengarahkan siasatan oleh pihak berkuasa dan menyeru agar penganjur menghentikan semua aktiviti yang bertentangan dengan nilai moral masyarakat.

