Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikatakan berada dalam dilema kecil. Dia mahu Tengku Zafrul Abdul Aziz kekal sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri walaupun Zafrul telah meletakkan jawatan daripada Umno.
“Tengku Zafrul seorang menteri yang menjalankan tugas dengan sangat baik. Pelaburan kita ratusan bilion, banyak juga dikendali dengan usahanya.
“Tetapi, soal kedudukan menteri itu tidak terjejas dan kita mahu dia teruskan tugas kerana prestasi sebagai menteri baik dan negara memerlukan sumbangannya,” kata Anwar seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Namun, Umno tidak senang dengan tindakan Zafrul meninggalkan parti untuk menyertai PKR, sambil terus kekal sebagai menteri.

Isu ini digambarkan oleh sesetengah pihak dalam Umno sebagai kemarahan terhadap tindakan 'memancing ahli’ yang tidak wajar oleh sekutu, tetapi kemungkinan besar ia berpunca daripada kehilangan seorang wakil dalam kabinet yang membawa agenda parti.
Umno disebut-sebut sedang berusaha untuk menyingkirkan Zafrul daripada kabinet dan mencari jalan bagi membatalkan pelantikannya sebagai senator.
Selaku presiden PKR, penting buat Anwar meredakan ketegangan ini apalagi dengan perancangan agar PKR dan Umno terus menjadi sekutu menjelang pilihan raya umum akan datang.
Nasib baik buat perdana menteri, keputusan Rafizi Ramli untuk meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi membuka ruang penyelesaian menang-menang.

Walaupun Anwar dilaporkan kecewa dengan keputusan Rafizi itu, kekosongan jawatan tersebut kini boleh diisi oleh seorang menteri daripada Umno sebagai usaha memuaskan hati parti itu.
Salah satu calon yang disebut-sebut ialah Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani, bekas menteri kewangan kedua dan seorang tokoh korporat.
Anwar kemudian boleh melantik seorang lagi ahli parlimen Umno untuk menggantikan portfolio semasa Johari sebagai menteri perladangan dan komoditi.
Langkah ini akan memastikan Umno kekal dengan kuota tujuh menteri dalam kabinet semasa.

Selepas Umno berpuas hati, PKR boleh menerima kemasukan Zafrul tanpa bantahan daripada rakan kongsi kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun, langkah ini mungkin mengambil masa untuk dilaksanakan.
Kecuali berubah fikiran, Anwar sebelum ini menyatakan dia tidak akan mengisi kekosongan jawatan Rafizi sehingga tamat tempoh perkhidmatan pada 16 Jun.
Langkah ini juga mempunyai kelemahan kerana hanya bersifat penyelesaian sementara yang menangguhkan perkara yang tidak dapat dielakkan.

Ini kerana tempoh terakhir Zafrul sebagai senator akan tamat hujung tahun ini, bermakna Anwar akhirnya perlu mencari pengganti.
Melainkan PKR melaksanakan satu lagi strategi khasnya dengan merancang satu pilihan raya kecil bagi membolehkan Zafrul bertanding dan dipilih sebagai Ahli Parlimen.
Setakat ini, strategi ini hanya pernah digunakan untuk Anwar.

