“Politik Trumpian”, iaitu istilah yang diambil daripada nama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, disifatkan seabgai memiliki unsur penyelewengan kebenaran, penyalahgunaan kuasa dan manipulasi persepsi awam.
Menurut bekas Menteri undang-undang Zaid Ibrahim, fenomena itu kini bukan lagi terbatas di Amerika Syarikat.
“Ia telah berakar umbi di Malaysia,” katanya dalam hantaran di X hari ini.
Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung skandal rasuah di Sabah, Zaid menegaskan bagaimana “bukti kukuh rasuah” telah diketepikan dan dianggap sekadar “persepsi”.
https://www.malaysiakini.com/news/744793
Selain itu, Zaid yang juga bekas ahli PKR mendakwa pemilihan PKR telah diatur bagi membuahkan keputusan yang telah ditentukan lebih awal — satu dakwaan yang dinafikan oleh parti itu.
Membangkitkan langkah Tengku Zafrul Abdul Aziz yang keluar dari Umno untuk menyertai PKR, Zaid berkata para pemimpin kanan daripada parti dalam kerajaan perpaduan “dipujuk tanpa rasa malu untuk berpaling tadah”, tanpa justifikasi yang jelas selain untuk mengukuhkan kuasa.
Menyentuh isu “kekebalan” untuk perdana menteri, Zaid berkata sistem perundangan dan mahkamah, yang dahulunya dilihat sebagai pemutus muktamad keadilan, kini berdepan saat ganting, sama ada mahu menegakkan kedaulatan undang-undang atau “bersekongkol”.
Menurut Zaid, ia bergantung kepada bagaimana soalan undang-undang tertentu dijawab.
“Malah, prospek untuk keadilan ditegakkan berdasarkan kekuatan bukti sering kali dihalang oleh lapisan kekebalan undang-undang dan isu teknikal sebagai jalan keluar,” katanya lagi.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan bahawa langkah Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bukan bertujuan untuk mendapatkan kekebalan peribadi.
Terdahulu, Anwar memohon untuk Mahkamah Persekutuan memutuskan jika Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikannya kekebalan bersyarat daripada saman yang difailkan oleh Yusoff Rawther empat tahun lalu.
Politik tidak jujur
Mengulas lanjut, Zaid berkata budaya politik yang membimbangkan ini kian meluas kerana terlalu ramai rakyat Malaysia bersikap tidak peduli terhadap kebenaran.
“Ramai yang berasa cukup sekadar pergi ke sekolah dan universiti yang mengutamakan hafalan semata-mata, berbanding berfikir secara kritikal. Mereka bersyukur menerima bantuan daripada korporat yang kemudian menuntut kesetiaan berterusan kepada pemimpin yang tidak jujur.
“Hanya sedikit yang sanggup berdepan dengan punca sebenar kemerosotan ekonomi kita. Sebaliknya, mereka lebih selesa dengan pemimpin yang sama yang mencetuskan kekacauan, menuding kesalahan kepada pihak lain dan memberikan jawapan mudah, serta hanya menuntut kepercayaan tanpa soal.
Tetapi, kata Zaid lagi, bahaya yang dibawa politik seumpama itu melangkaui isu rasuah secara individu.
“Ia melemahkan institusi yang sepatutnya melindungi rakyat. Ia menyuburkan budaya kebal daripada tindakan, di mana kesalahan menjadi kebiasaan dan kebertanggungjawaban lenyap.
“Ia menyemai sinisme dalam kalangan rakyat, melemahkan semangat sivik, dan menjadikan pengundi sekadar penonton pasif kepada kemerosotan mereka sendiri,” katanya lagi.
Kata Zaid lagi, lambat-laun keadaan itu akan menghakis daya tahan negara, menjadikan rakyat tidak mampu bertindak balas secara kolektif terhadap krisis, tidak lagi mempercayai perubahan, dan tidak mampu membina semula kepercayaan.
“Akhirnya, mungkin inilah hasil daripada apa yang kita harapkan, atau apa yang sanggup kita terima,” katanya lagi.

