Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi mencadangkan semua Bahagian Umno untuk membawa usul mengecam Tengku Zafrul Abdul Aziz yang keluar Umno dan kesediaan PKR untuk menerima “katak”, dalam perhimpunan agung parti itu tahun ini.
Dalam hantaran di Facebook semalam, Puad menegaskan Umno bukanlah parti yang boleh dibuli.
“Umno adalah parti yang mengutamakan rakyat. Umno juga parti yang taat kepada nasihat Raja-Raja Melayu. Sebab itu Umno menyertai kerajaan PN dan juga Kerajaan Perpaduan.
“Tetapi itu tidak bermakna Umno boleh dicucuk hidung,” katanya.
Puad berkata inilah sebabnya Umno sebelum ini menarik balik sokongan terhadap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang akhirnya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021 selepas hanya 17 bulan mentadbir negara.
“Umno perlu keras dalam isu Zafrul kerana Umno tidak mahu ia menggugat kestabilan kerajaan perpaduan,” kata Puad lagi.
Aku janji
Terdahulu, Puad menggesa kepimpinan Umno untuk mengkaji sama ada Tengku Zafrul, yang kini memegang jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, boleh dipertanggungjawabkan atas dakwaan melanggar aku janji sebagai calon BN, selepas mengambil keputusan meninggalkan Umno untuk menyertai PKR.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata aku janji yang ditandatangani oleh Zafrul ketika menjadi calon BN tidak boleh dikuatkuasakan kerana dia tewas dalam PRU lalu.
Pada PRU15, Zafrul bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor tetapi tewas kepada calon PH, Dzulkefly Ahmad.
Dia pertama kali dilantik sebagai senator dan menteri di bawah pentadbiran PN pada Mac 2020.
Dia kemudian dilantik semula pada Disember 2022 dalam kerajaan perpaduan persekutuan, dengan tempohnya sebagai senator dijangka tamat hujung tahun ini.

