malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda Umno pada Zahid: Jangan gentar pertahan hak parti
Diterbitkan:  Jun 1, 2025 9:54 AM
Dikemaskini: 1:54 AM
ADS

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya gentar untuk mempertahankan hak parti itu, seperti yang telah dipersetujui secara konsensus oleh semua pihak semasa pembentukan kerajaan perpaduan selepas PRU15, kata Pemuda Umno.

Pemuda Umno turut menyuarakan sokongan penuh terhadap gesaan Zahid agar Umno kekal dengan kuota tujuh menteri penuh, susulan langkah Tengku Zafrul Abdul Aziz meninggalkan parti itu.

Dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Exco Pemuda Umno Fikhran Hamshi, sayap tersebut menegaskan Umno akan terus memperjuangkan suara rakyat.

“...(Kami akan berjuang) dengan lebih cemerlang tanpa individu yang hanya pentingkan kemahuan kuasa individu melebihi kesetiaan kepada Umno,” menurut kenyataan itu, jelas merujuk kepada Tengku Zafrul yang berhasrat menyertai PKR.

Semalam, Zahid berkata walaupun dia tiada masalah dengan keputusan Tengku Zafrul tersebut, dia menegaskan adalah tidak beretika untuk mana-mana parti dalam kerajaan menerima daripada parti sekutu yang lain.

‘Bukan keputusan mudah’

Semalam, Tengku Zafrul enggan mengulas mengenai kedudukannya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dan berkata dia menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membuat keputusan.

"Saya tidak ada komen. Saya ingin memberi fokus kepada (ibadah) haji bersama keluarga saya. Saya serahkan semua kepada Perdana Menteri,” katanya.

Tengku Zafrul berkata keputusannya untuk keluar Umno bukanlah sesuatu yang mudah, dan dia merakamkan penghargaan kepada Zahid serta ahli parti atas sokongan yang diberikan selama ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Presiden UMNO (Ahmad Zahid) serta rakan-rakan dan ahli-ahli Umno yang telah banyak membantu, memberi sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif dalam Umno,” katanya ketika ditemui di KLIA sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen