malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Sayap pemuda PKR dilihat perlu fokus dalam usaha memberi pencerahan tentang matlamat perjuangan parti itu termasuk perjuangan reformasi yang kini menjadi agenda di peringkat pentadbiran negara.

Ketuanya Kamil Munim berkata dia menyedari wujud jurang generasi antara pejuang-pejuang awal dan yang terkemudian dalam kalangan anggota parti.

"Jadi sebab itu saya juga telah umumkan dalam kongres yang berlangsung tempoh hari bahawa Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menjalankan kegiatan (dengan) fokusnya itu terlebih dahulu ialah kepada anggota-anggota sendiri untuk memberi kefahaman dan juga pencerahan tentang matlamat perjuangan wadah ini.

"Kerana kita bimbang kalau itu tidak difahami dan dimengerti oleh PKR sendiri maka apatah lagi untuk difahami oleh rakyat di luar sana.

“Sebab itu antara kritikan yang diterima kami pada hari ini ialah reformasi itu sudah tidak seksi, ataupun reformasi itu hanya sekadar omongan tidak lagi diterjemah melalui pendekatan kerajaan.

"Sebenarnya itu tidak betul, sebab bezanya adalah hari ini kerajaan tugasnya adalah untuk melaksanakan apa yang telah kita laung-laungkan sebelum daripada ini.

"Tetapi rakyat juga harus faham perubahan itu tidak boleh berlaku dalam tempoh masa yang singkat. Mesti ada progress, mesti ada tahap-tahapnya kerana kita bimbang kalau kita lakukan sesuatu itu secara drastik, ia akan memberi kejutan kepada sistem politik dan juga ekonomi yang ada dalam negara kita,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis lalu.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sejauh mana golongan muda hari ini benar-benar sedar dan memahami agenda reformasi yang selama ini menjadi tunjang perjuangan PKR.

Kamil turut menegaskan betapa PKR kekal berpegang kepada prinsip-prinsip asas yang diperjuangkan parti itu terkait isu-isu seperti keadilan sosial, keluhuran undang-undang, malah konsisten dalam soal kebebasan badan kehakiman dan melawan sebarang bentuk kezaliman.

Jadi agenda utama

Dia turut memberikan contoh langkah segera diambil Anwar Ibrahim dengan mengumumkan inisiatif membasmi kemiskinan tegar sebaik sahaja mengangkat sumpah jawatan perdana menteri.

"Hal-hal ini (reformasi) diterjemah dalam bentuk dasar oleh kerajaan. Sebab ini adalah hal-hal yang asas, jadi apabila kita umum basmi kemiskinan tegar, agensi-agensi kerajaan melihat ini sebagai satu agenda penting yang dibawa perdana menteri, maka ia terus bergerak dengan begitu aktif dan efisien untuk memastikan agenda ini kita dapat dilaksanakan dengan baik.

"Saya kebetulan berkesempatan mengikut perdana menteri dalam mesyuarat pembangunan negeri-negeri.

“Antara hal utama yang dibincangkan dengan kerajaan negeri termasuklah negeri PN ialah usaha menoktahkan kemiskinan tegar.

"Walaupun pada peringkat awal ada sindiran yang dibuat oleh para pemimpin pembangkang tentang inisiatif ini, meremehkan inisiatif perdana menteri ini, tapi akhirnya apabila dilaksanakan dalam mesyuarat peringkat negeri hal-hal berkenaan membasmi kemiskinan tegar ini dijadikan salah satu agenda utama.

“Akhirnya setiap pemimpin sedar bahawa ini yang perlu kita lakukan," jelasnya.

Dari sudut reformasi ekonomi pula, tambahnya, kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dalam memastikan perbelanjaan kerajaan tidak melebihi keupayaan negara

"Kita tak nak lagi ekonomi kita ini – apabila kita rasa tidak mampu, tak ada duit – terus meminjam tanpa ada sikit rasa kebertanggungjawaban, setidak-tidaknya itu mampu membantu kita memulihkan kedudukan ekonomi dan berbelanja mengikut keupayaan kita.

“Ini tidak dilakukan oleh pimpinan-pimpinan lain sebelum ini.

"(Dalam) pemberian subsidi, tekad yang sama seluruh kepimpinan (sebelum ini) tetapi tidak ada political will (tekad politik), tidak ada keberanian," kata Kamil lagi.

Tak bersifat sensasi

Justeru katanya, reformasi itu bermula daripada sikap kepimpinan dan bercakap soal-soal agenda yang diperjuangkan dengan tekad reformasi.

"Kita bercakap tentang soal-soal tatakelola, tentang pengurusan, tidak ada ketirisan, tidak ada kebocoran, tidak ada lagi amalan rasuah dan salah guna kuasa. Jadi ini ialah tekad reformasi yang kita perjuangkan sebelum ini.

"Apabila ini dapat dilaksanakan, hari ini kita dapat lihat sedikit sebanyak kesannya. Kerajaan boleh jimat berbilion-bilion dan dialihkan kepada peruntukan yang lain.

“Saya sebut seperti (program) bantuan awal, sumbangan asas rahmah (SARA), ada program Sejati Madani bantu cipta ekosistem ekonomi di peringkat komuniti setempat.

"Maksudnya hari ini orang tak nampak kita menjerit reformasi sebab reformasi itu sedang berjalan dan kadang-kadang kita mungkin terlepas pandang.

“Maksudnya seperti saya sebutkan (bekalan) beras, ayam, gula, minyak masak dan sebagainya tiada lagi masalah kita dengar waktu perayaan.

"Tetapi hal-hal ini dia tidak bersifat sensasi berbanding dengan politik kaum dan agama. Orang lebih suka hal-hal yang bersifat sensasi sehingga mengatasi keupayaan untuk melihat secara lebih objektif sama ada keadaannya lebih baik berbanding sebelum ini," kata Kamil yang turut tidak menafikan banyak lagi perkara yang perlu ditambah baik oleh Putrajaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen