Penganjur forum anjuran fakulti undang-undang UM menafikan dakwaan bahawa panelis yang juga seorang pelajar telah digugurkan daripada menyertai program itu selepas mendapat tekanan daripada Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.
Dakwaan ini muncul susulan kenyataan dikeluarkan oleh Liga Mahasiswa Malaysia yang mendesak kedua-dua ahli Parlimen itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada aktivis pelajar, Alyaah Hani Anuar atas dakwaan campur tangan kerajaan.
Adam dan Chiew, yang turut menjadi panelis dalam forum mengenai kebebasan bersuara yang diadakan di Fakulti Undang-Undang UM hari ini bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Penasihat Pasukan Perlembagaan UM (UM Consti Team), Sheila Ramalingam menjelaskan keputusan penganjur untuk tidak memasukkan Hani dalam sesi itu bagi memastikan semua panelis berada pada kedudukan yang setara.
Ini kerana forum berkenaan menampilkan individu seperti pakar perlembagaan, Profesor Emeritus Shad Saleem Faruqi, sebagai panelis bersama.

“Yang saya faham, dia diminta menjadi panelis semalam sebab ada panelis jemputan lain yang tarik diri, jadi kami mencari pengganti, dan mereka (ahli jawatankuasa penganjur) mendapatkannya.
“Tetapi apabila mereka datang kepada saya, saya kata tidak sepatutnya ada pelajar terbabit sebagai panel.
“Bukan sebab dia pelajar, tetapi kerana semua panelis perlu berada pada tahap yang sama. Jadi anda tak boleh letak Profesor Emeritus, Prof Shad dengan seorang pelajar, itu ‘tak ngam’,” kata Sheila.
Sheila berkata demikian kepada Malaysiakini selepas sesi forum bertajuk “Unmute the Nation: The Constitution’s Promise of Freedom”.
Untuk rekod, Hani merupakan aktivis pelajar yang lantang bersuara dan sebelum ini mengkritik kerajaan berkenaan usaha mengembalikan sekatan perjalanan terhadap peminjam yang tidak membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pada 13 Mac lalu, pelajar tahun ketiga jurusan undang-undang itu berkata cadangan itu datang daripada individu berstatus tinggi yang “terputus hubungan dengan realiti masyarakat bawahan”.
Terdahulu, Liga Mahasiswa dalam satu kenyataan mendakwa kedua-dua Ahli Parlimen PKR itu meminta penganjur mengecualikan Hani daripada senarai ahli panel jika mahu mereka menyertai program itu.
"Lebih parah, terdapat permintaan agar saudari Hani tidak hadir langsung ke kawasan forum tersebut.
"Ini bukan sahaja satu bentuk pembungkaman terhadap suara mahasiswa, tetapi satu tindakan bacul yang mencerminkan budaya takut kepada perbezaan pendapat," kata kenyataan dikeluarkan Liga Mahasiswa.

Ketika dihubungi, Hani yang juga Presiden Liga Mahasiswa UM berkata dia menerima jemputan sebagai pengacara majlis pada 10 Mei.
Disebabkan kekurangan ahli panel, katanya penganjur telah menjemputnya semalam untuk menjadi ahli panel bersama Prof Shad, Adam, dan Chiew — dan dia bersetuju.
Namun pada jam 6 petang, jawatankuasa penganjur menghubunginya semula untuk menarik balik jemputan berkenaan.
"Mereka beritahu saya bahawa Adam sedang berfikir dua kali untuk menghadiri forum itu selepas PA (pembantu peribadi)nya melihat nama saya dalam senarai.
“Kemudian pada jam 11.45 malam, saya terima lagi satu panggilan daripada jawatankuasa, di mana mereka memohon maaf kerana terpaksa mengecualikan saya sebagai ahli panel dan pengacara.
“Saya dimaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan permintaan daripada pihak Adam dan Chiew yang tidak mahu saya menjadi panelis, pengacara, atau bahkan dilihat di acara tersebut,” dakwa Hani.
Menjawab dakwaan itu, Adam dan Chiew bagaimanapun menafikan wujud arahan daripada mereka.
"Tak betul, saya tak pernah dengar pula masalah macam itu.
"Yang saya tahu adalah saya sendiri ingat daripada awal lagi saya sudah setuju untuk jadi salah seorang panel, cuma ada perubahan panel di setiap masa sehingga ke saat terakhir masih tak dapat kepastian panel.
"Jadi saya kata saya sendiri pun datang daripada Melaka untuk sesi kali ini, jadi kena pastikan ahli panel betul-betul, kalau tidak saya susah nak selaraskan jadual saya," kata Adam.
Chiew juga menyatakan perkara yang sama dan menafikan mereka ada masalah untuk berdialog dengan pelajar.

