malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ketegangan dengan Umno sukar dielak jika Zafrul sertai PKR - Adam
ADS

Seorang pemimpin kanan PKR tidak menolak kemungkinan hubungan antara partinya dengan Umno akan menjadi tegang sekiranya Tengku Zafrul Abdul Aziz diterima menyertai PKR.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Adam Adli berharap situasi itu dapat ditangani secara berhemah oleh kedua-dua parti bagi mengelak pertikaian yang boleh menjejaskan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

“Tak dinafikan kalau situasi ini hanya menimbulkan suasana yang akan teganglah sedikit. Jadi diharap kita boleh tread this very carefully,” katanya.

“Saya tak ada nak halang hak sesiapa untuk keluar parti ataupun tukar parti. Dalam konteks Tengku Zafrul ni, dia ada hak, cuma saya fikir yang betulnya adalah kita memang akui akan timbul isu antara Keadilan (PKR) dan juga Umno, ketegangan yang tak boleh dielakkan.

“Jadi, kita memang kena urus dengan baik. Saya yakin kedua-dua parti akan betul-betul tangani isu ini dengan sangat berhati-hati.

“Setakat ni, setiausaha agung (PKR) pun dah bawa keluar kenyataan, mengatakan belum ada apa-apa permintaan dan sebagainya, jadi itu kita serah kepada proses yang sepatutnya,” tambahnya ketika ditemui Malaysiakini.

Adam sebelum itu menjadi ahli panel dalam forum anjuran pelajar Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM) di ibu negara. Turut hadir ahli parlimen Miri, Chiew Choon Man, yang juga bertindak sebagai panelis.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR (AMK), Kamil Munim pula berbeza pandangan dengan Adam apabila mengatakan perbincangan untuk Zafrul menyertai PKR telah berjalan lebih setahun.

Katanya, penyertaan Zafrul boleh membuka ruang untuk menarik sokongan pelbagai pihak untuk bersama PKR dalam membina sebuah negara yang lebih progresif, adil dan inklusif.

"Ini sejajar dengan komitmen Keadilan untuk terus menawarkan politik berasaskan idea, kepakaran dan integriti. Pengalaman beliau dilihat mampu memberi nilai tambah kepada Keadilan.

"Saya percaya bahawa keterbukaan Keadilan dalam menerima tokoh-tokoh profesional adalah bukti bahawa parti ini sentiasa berkembang sebagai sebuah wadah yang matang dan bersedia untuk memimpin masa depan Malaysia," katanya di X.

Bagaimanapun, katanya proses permohonan perlu mengikuti prosedur yang telah ditetapkan dan seperti yang diumumkan Setiausaha Agung parti.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul mengumumkan pengunduran dirinya daripada Umno dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.

Pada satu hantaran di Facebook malam tadi, Zafrul berkata keputusan itu tidak dibuat dengan mudah.

Jelasnya, dia telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada rakan-rakan dalam dan luar Umno, termasuk presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

“Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan Umno.

“Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua Umno Kota Raja dan ahli Umno.

“Pada masa sama, saya telah menyatakan niat untuk menyertai PKR kepada presiden dan setiausaha agung parti itu. Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli PKR,” kata Zafrul.

Sementara itu, presiden Umno hari ini mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul sebagai ahli majlis kerja tertinggi parti itu.

Zahid yang juga pengerusi BN berharap perdana menteri dapat mengembalikan semula kuota tujuh menteri penuh di dalam kabinet Persekutuan kepada Umno susulan tindakan Tengku Zafrul itu.

Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani pula berkata kerjasama Umno dan PKR tidak terjejas susulan peletakan jawatan Zafrul itu.

Johari menegaskan kedua-dua parti dalam Kerajaan Perpaduan itu perlu terus bekerjasama demi kestabilan politik negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen