Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menempelak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana menganggap dakwaan skandal rasuah di Sabah sekadar persepsi politik.
Bercakap dalam satu forum hari ini, Letheefa berkata terdapat video menunjukkan beberapa pemimpin negeri Sabah dipercayai berbincang mengenai sogokan, dan perkara ini bukan sekadar persepsi.
"Apa yang dimaksudkan dengan persepsi? Ini adalah bukti yang kukuh.
"Video menunjukkan individu mengaku terlibat dalam perbuatan rasuah bukanlah persepsi, ia adalah bukti kukuh.
"Jadi, apa mesej yang disampaikan kepada ketua pesuruhjaya SPRM? Ini hampir menjadi satu jenaka. Ia (skandal) bukan persepsi," katanya.
Latheefa, yang juga peguam berkata demikian ketika menjadi salah seorang panelis dalam forum anjuran Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya bertajuk 'Rasuah dan Demokrasi Berperlembagaan: Seruan untuk Integriti'.
Untuk rekod, Latheefa juga merupakan peguam kepada pemberi maklumat (whistleblower) yang mendedahkan video-video skandal tersebut.
Dia mengulas kenyataan Anwar ketika berucap dalam satu acara di Sabah semalam, di mana perdana menteri mempertahankan SPRM yang didakwa tidak bertindak dalam kes ini.
"Tuduhannya bahawa kita menutup (isu tersebut), itu persepsi, dibangkitkan persepsi terutama di bandar seolah-olah ada usaha untuk menutup perbuatan rasuah dan kesalahan,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Penampang.

Menurut perdana menteri, SPRM perlu menyiasat kesahihan video-video tersebut terutama dalam era kecanggihan kecerdasan buatan (AI).
‘Satu lagi jenaka’
Bagaimanapun, Latheefa membidas kenyataan Anwar yang tidak menolak kemungkinan video itu palsu.
Menyifatkan kenyataan itu sebagai "satu lagi jenaka", Latheefa menegaskan bahawa salah seorang Adun yang terlibat dalam video tersebut telah mengakui bahawa dia merupakan individu dalam video berkenaan.
"Dia sendiri mengaku itu adalah dirinya dalam video, tapi dia menafikan apa yang dikatakan dalam video itu sebagai rasuah. Dia kata itu sumbangan politik, tiada unsur sogokan dalam video tersebut.
"Tapi bagaimana boleh seseorang mengaku dirinya dalam video itu, tetapi pemimpin tertinggi masih memberi isyarat bahawa kita harus berhati-hati dalam siasatan.
"Kenapa? Kenapa perlu berhati-hati? Adakah kerana pilihan raya Sabah semakin hampir?
"Adakah kerana individu yang sedang disiasat atau disasarkan itu memegang jawatan tinggi?" soalnya.
Latheefa turut mempersoal apakah perbezaan antara pentadbiran yang diterajui Anwar dengan kerajaan BN di bawah Najib Razak, yang menurutnya menyalahgunakan kuasa untuk mengelak siasatan dan pendakwaan dalam skandal 1MDB.

