Polis memulakan siasatan terhadap bengkel berkaitan LGBTQ+ yang dianjurkan oleh Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, berhubung kesalahan mengganggu ketenteraman awam dengan menghina atau mencemar mana-mana agama, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Program ini dilihat secara jelas telah melangkaui sensitiviti awam serta melanggar undang-undang negara yang tidak menyokong sebarang bentuk amalan LGBTQ+ di negara ini,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, sebanyak 21 laporan polis telah diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam di 11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor berhubung program berkenaan.

"Sehubungan itu, masyarakat awam dan mana-mana individu lain diingatkan untuk tidak menyertai program tersebut," tegasnya.
Hussein berkata penganjuran dan penyertaan dalam program ini boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah:
Seksyen 298A Kanun Keseksaan – Mengganggu ketenteraman awam dengan menghina atau merendahkan mana-mana agama;
Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan – Mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan ketegangan antara kaum atau agama;
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – Menggunakan perkhidmatan rangkaian komunikasi untuk tujuan yang tidak wajar.

Hussein berkata jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
"Jika kesalahan berterusan selepas pensabitan, denda tambahan sebanyak RM1,000 boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.
"Pihak polis akan terus memantau perkembangan ini dan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan ketenteraman awam dan mematuhi undang-undang negara,” katanya lagi.
Terdahulu hari ini, Pemuda PSM mengumumkan penangguhan program “Pride Care: Kisah Queer & Kesedaran Kesihatan Seksual” atas faktor keselamatan.

Pengerusinya, Amanda Shweeta Louis berkata reaksi masyarakat serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar menunjukkan peningkatan kebencian walaupun objektif program tersebut bertujuan mencegah jangkitan penyakit kelamin.
Dia mendakwa komen Na’im turut membawa kepada peningkatan ancaman kebencian dan ugutan bunuh terhadap PSM di media sosial.
Dalam kenyataan pada Khamis (29 Mei), Na’im menegaskan kerajaan menolak sebarang usaha untuk menormalisasi budaya LGBTQ+.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu mencabar nilai moral dan agama masyarakat Malaysia, meskipun ia diadakan secara tertutup.
Dia juga mengarahkan pihak berkuasa menyiasat program tersebut dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar peraturan, serta menyeru penganjur supaya menghentikan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan nilai moral masyarakat.

