malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno S'gor: Tindakan Zafrul boleh cetus prasangka akar umbi
Diterbitkan:  May 31, 2025 1:56 PM
Dikemaskini: 6:00 AM
ADS

Umno Selangor menegaskan “tidak akan berkompromi dalam soal kesetiaan dan keikhlasan” terhadap perjuangan parti, susulan tindakan mengejut bekas ketua bahagian Kota Raja, Tengku Zafrul Abdul Aziz keluar parti.

Setiausaha Umno Selangor, Abdul Mutalif Abdul Rahim menyifatkan peletakan jawatan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu mencemari semangat setiakawan dalam kerajaan gabungan.

Dia dilaporkan berkata tindakan Zafrul boleh menimbulkan ketegangan dan mewujudkan prasangka dalam kalangan penyokong akar umbi.

“Justeru, kami menyeru semua parti komponen Kerajaan Perpaduan agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian politik bersama dan tidak mengamalkan budaya 'memancing ahli' sesama rakan gabungan," kata ketua Umno Petaling Jaya itu seperti dipetik BH Online.

Menurutnya, langkah Zafrul itu tidak mengejutkan memandangkan perkembangan politik semasa.

"Peletakan jawatan beliau adalah keputusan peribadi yang kami hormati, tetapi bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Kami ingin tegaskan bahawa perjuangan Umno bukan bersandarkan kepada satu individu.

"Parti ini sudah melalui pelbagai fasa cabaran dan pengkhianatan, namun tetap utuh kerana kekuatannya terletak pada akar umbi dan prinsip yang tidak boleh dijual beli,” tegasnya mengulangi pendirian Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Sementara itu, Exco Pemuda BN, Dr Anil Sandhu menggesa Zafrul supaya melangkah lebih jauh dengan turut melepaskan jawatan menterinya.

Anil, yang juga bendahari Pemuda Umno Sabah berkata tindakan Zafrul sepatutnya menjadi pengajaran kepada parti-parti kerajaan apabila membentuk barisan kabinet.

“Tindakan yang dilihat mengejut ini berpotensi meningkatkan suhu politik dalam gabungan yang sedang berusaha mengekalkan kestabilan dan kepercayaan rakyat.

"Kita tidak menafikan hak mana-mana individu untuk membuat keputusan politik, tetapi ia mestilah selari dengan prinsip kebertanggungjawaban dan maruah dalam berorganisasi.

“Melepaskan parti tetapi kekal dengan jawatan adalah isyarat yang salah kepada rakyat dan memberi gambaran bahawa jawatan lebih diutamakan berbanding kesetiaan dan perjuangan

"Umno telah membuka ruang seluas-luasnya kepada Tengku Zafrul sejak beliau mula-mula diserap ke dalam politik arus perdana.

“Peluang telah diberi, kepercayaan telah disemat, namun kini jelas bahawa ia tidak dihargai sewajarnya,” kata Ketua Pemuda Umno Lahad Datu itu.

Tengku Zafrul malam tadi mengumumkan peletakan jawatannya daripada Umno, dengan menyatakan bahawa keputusan itu tidak dibuat secara mudah dan beliau telah merujuk kepada rakan-rakan dalam dan luar parti, termasuk Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan pengumuman itu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan parti itu masih belum menerima surat peletakan jawatan secara rasmi daripada Zafrul.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata partinya belum menerima sebarang permohonan keahlian daripada Zafrul.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen