Polis menahan seorang lelaki disyaki tokan dadah dan merampas ganja seberat 69.82 kilogram dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Melawati, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata ketika pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemukan 66 ketulan bungkusan mampat ganja bernilai RM216,457 dalam sebuah kereta Toyota Vellfire.
Dia berkata suspek berusia 44 tahun itu yang berperanan sebagai tokan dipercayai aktif sejak Nov lalu dan mempunyai dua rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah.
"Siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan dibawa masuk dari negara jiran melalui sempadan Perlis sebelum dibawa ke Lembah Klang untuk pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Mat Zani berkata polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 ke atas motosikal jenis Ducati milik suspek dianggarkan bernilai RM29,500 menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM245,957.
"Hasil ujian saringan awal mendapati suspek negatif dadah. Dia kini direman tujuh hari hingga 5 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
- Bernama

