Setelah lebih sedekad tersenarai di Bursa Malaysia, FGV Holdings Berhad (FGV) kini dalam proses penyahsenaraian.
Ini selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat untuk mengambil alih semua baki saham dalam FGV yang belum dimilikinya pada harga RM1.30 sesaham.
Tujuan utama tawaran ini adalah untuk meningkatkan pemilikan Felda melebihi 90 peratus, bagi memudahkan proses penyahsenaraian FGV dari pasaran utama Bursa Malaysia.
Langkah ini menandakan percubaan besar kedua Felda untuk mengambil alih FGV selepas tawaran serupa pada 2020, juga pada RM1.30 sesaham gagal.
Setakat 20 Mei lalu, Felda memiliki 2.54 bilion saham FGV secara langsung, mewakili 69.50 peratus daripada modal saham terbitan syarikat itu.
Bersama pihak yang bertindak secara bersama (PAC), Felda secara kolektif menguasai kira-kira 86.93 peratus daripada hak mengundi dalam FGV.
Sejarah penubuhan dan penyenaraian
FGV ditubuhkan pada tahun 2007 sebagai sebuah anak syarikat Felda, yang bertujuan mengkomersialkan aset tanah peneroka dan menjana pulangan ekonomi yang tinggi.
Namun keadaan FGV dan landskap pengurusan Felda mula berubah secara ketara selepas Isa Samad dilantik sebagai pengerusi Felda pada tahun 2011.
Tidak lama kemudian, Isa juga dilantik sebagai Pengerusi FGV dan memainkan peranan utama dalam mendorong penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.

Pada 28 Jun 2012, FGV disenaraikan melalui penawaran awam permulaan (IPO) yang mengumpul RM10.4 bilion, menjadikannya IPO kedua terbesar di dunia pada ketika itu selepas Facebook Inc.
Sebagai sebahagian daripada proses penyenaraian, 350,000 hektar tanah Felda dipajak kepada FGV selama 99 tahun melalui satu perjanjian yang dikenali sebagai Land Lease Agreement (LLA).
Felda kekal sebagai pemilik tanah, namun FGV diberi hak untuk mengurus, mengusahakan dan menjana hasil daripada ladang tersebut. Sebagai balasan, FGV perlu membayar sewa tahunan tetap kepada Felda.
Setiap peneroka Felda menerima "durian runtuh" sebanyak RM15,000 yang diberikan dalam tiga fasa, bersama janji pemilikan saham FGV dan dividen tahunan yang tinggi daripada proses penyenaraian tersebut.
Perubahan sruktur pemilikan
Sebelum penyenaraian, Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) memegang 51 peratus saham dalam Felda Holdings Berhad (FHB), syarikat yang menjalankan perniagaan utama Felda termasuk pengurusan ladang, pemprosesan sawit, logistik, dan operasi kilang.
Namun, semasa penyenaraian FGV, aset dan operasi FHB diserap ke dalam FGV, dan KPF tidak diberikan sebarang pegangan dalam struktur pemilikan baru atas sebab Akta Koperasi tidak membenarkan pelaburan koperasi dalam syarikat tersenarai awam.
Ini menyebabkan KPF kehilangan aset dan sumber pendapatan utama yang sebelum ini memberi manfaat secara langsung kepada peneroka.
Pada 2012, sekumpulan ahli KPF memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, yang antara lain mencabar keputusan untuk menyingkirkan koperasi itu daripada memiliki kepentingan dalam FGV.
Mereka mendakwa tindakan tersebut menjejaskan kepentingan ekonomi peneroka Felda yang menjadi ahli koperasi, serta mempersoalkan ketelusan dan keabsahan proses penyenaraian serta perpindahan aset FHB ke FGV.
Pada April 2012, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak injunksi interim yang menghalang KPF daripada memindahkan sahamnya dalam Felda Holdings Bhd kepada FGV. Proses penyenaraian kemudian diteruskan seperti yang dirancang.
Kegagalan tadbir urus dan pelaburan
Beberapa tahun selepas disenaraikan, saham FGV merosot teruk daripada harga permulaan RM4.55 kepada kurang RM1 sesaham.
Faktor penyumbang termasuk kelemahan tadbir urus korporat, pengurusan tidak cekap, dan pelaburan tidak strategik.
Beberapa pelaburan bermasalah dilaporkan seperti berikut:
- MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM)- FGV memegang 51 peratus saham dalam MSM, syarikat penapis gula terbesar di Malaysia dengan kira-kira 60 peratus penguasaan pasaran. MSM mencatat kerugian antara 2018–2020, untung pada 2021, namun rugi semula pada 2022 dan 2023 akibat kenaikan kos bahan mentah dan tekanan kadar tukaran.
- Trurich Resources Sdn Bhd (TRSB) - Usaha sama antara FGV dan Lembaga Tabung Haji (masing-masing 50%) dalam projek ladang sawit di Kalimantan Tengah. FGV mencatat kerugian terkumpul RM551 juta; jumlah kerugian keseluruhan dianggar melebihi RM700 juta.
- Asian Plantations Limited (APL)- FGV membeli APL pada 2014 dengan harga RM628 juta. Pada 2018, FGV menyaman 14 bekas pengarah dan pegawai, termasuk Isa Samad, menuntut ganti rugi RM514 juta atas dakwaan salah urus dan pelanggaran amanah.
-Safitex Trading LLC - Melalui Delima Oil Products Sdn Bhd, FGV berdepan kerugian akibat hutang tidak berbayar sebanyak USD8.3 juta oleh Safitex Trading LLC yang berdaftar di Dubai, UAE. Audit forensik PwC (2016) mendedahkan kelemahan tadbir urus dan kawalan dalaman.
- FELDA IFFCO Turkey- Usaha sama FGV dan IFFCO Group UAE dalam pemprosesan minyak sayuran di İzmir, Turki. Antara 2011–2016, syarikat ini dilapor mengalami kerugian RM105.88 juta akibat penipuan stok; FGV menanggung separuh daripada jumlah tersebut.
- Twin Rivers Technologies (TRT) - Syarikat FGV di AS yang mengeluarkan bahan kimia berasaskan bio. Pada 2018, FGV merekodkan susut nilai pelaburan sebanyak RM113 juta dan bercadang melupuskan pegangan dalam TRT sejak 2020.
Kontroversi demi kontroversi
Pada 2017, kemelut besar berlaku apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV ketika itu, Zakaria Arshad digantung tugas oleh Lembaga Pengarah FGV yang dipengerusikan Isa Samad. Turut digantung ialah beberapa pegawai kanan.

Zakaria secara terbuka mendakwa Isa campur tangan dan menyalah guna kuasa, termasuk membuat keputusan kewangan tanpa proses kelulusan sah.
Kes ini mencetuskan siasatan dalaman dan campur tangan kerajaan, termasuk oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak yang mengarahkan audit bebas dilakukan.
Semasa kontroversi FGV memuncak, SPRM melancarkan siasatan ke atas beberapa urus niaga mencurigakan, termasuk pembelian hotel mewah oleh Felda Investment Corporation (FIC) dan pelaburan luar negara oleh FGV yang tidak berdaya saing.
Nama Isa terpalit dalam beberapa dakwaan, termasuk kes berkaitan pembelian Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu dan The Grand Plaza Kensington di London.
Pada tahun yang sama, tekanan politik terhadap Isa Samad meningkat, termasuk daripada kalangan ahli politik pembangkang dan kerajaan sendiri. Pada Jan 2017, kerajaan mengumumkan pelantikan Shahrir Samad sebagai Pengerusi Felda yang baru bagi menggantikan Isa.
Dakwaan buruh paksa dan impak global
Pada Oktober 2020, reputasi FGV terus tercalar apabila Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat mengharamkan import minyak sawit daripada syarikat itu atas dakwaan penggunaan buruh paksa.

CBP mendakwa hasil siasatan mereka mendapati wujud amalan kerja paksa, termasuk pengambilan pekerja melalui penipuan, kekangan terhadap kebebasan bergerak, intimidasi, dan penyimpanan dokumen peribadi pekerja.
FGV menafikan semua tuduhan tersebut, namun larangan itu menjejaskan hubungan perdagangan antarabangsa dan menambahkan tekanan kepada prestasi korporat yang sememangnya bermasalah.
Pengambilalihan semula oleh Felda
Penyenaraian FGV di Bursa Malaysia tidak lagi relevan dengan keperluan strategik Felda.
Sejak 2021, pegangan saham awam kekal di bawah 25 peratus, dan akhirnya Bursa menolak permohonan lanjutan FGV.

Keputusan ini mendorong Felda untuk mempercepat pengambilalihan penuh dan menamatkan status FGV sebagai syarikat tersenarai.
Penyahsenaraian ini dilihat sebagai kegagalan model penswastaan separa kerajaan (GLC) Felda.
Ia menyerlahkan kelemahan tadbir urus, apabila kerajaan dan Felda gagal mengekalkan nilai FGV di pasaran terbuka, malah membebankan peneroka dengan masalah korporat yang sepatutnya memberi manfaat kepada mereka.
Namun dari sudut positif, Felda kini boleh mengawal penuh FGV tanpa terikat dengan pasaran saham, serta berpeluang merombak semula model perniagaan dan menyelamatkan aset peneroka.

