malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hukuman dua tahun ke atas Leissner terlalu ringan, kata Johari
Diterbitkan:  May 30, 2025 9:59 PM
Dikemaskini: 1:59 PM
ADS

Hukuman ringan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner mungkin memberi isyarat yang salah kepada institusi kewangan global, kata Pengerusi Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB, Johari Ghani.

Johari berkata hukuman dua tahun penjara terhadap Leissner tidak setimpal dengan peranan yang dimainkan dalam skandal 1MDB.

“(Hukuman ke atas Leissner) sepatutnya menjadi peluang untuk memberi mesej jelas dan tegas kepada dunia bahawa jenayah kolar putih akan dikenakan tindakan serius.

"Malangnya, peluang itu telah terlepas,” kata Johari seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

Menurut Johari, Leissner antara dalang utama dalam salah satu skandal kewangan paling serius di dunia, yang menyaksikan berbilion dolar wang 1MDB diseleweng.

“Dia memainkan peranan penting dalam membolehkan penipuan itu (berlaku), menyalahgunakan kedudukannya dan reputasi salah sebuah institusi kewangan terkemuka di dunia untuk melaksanakan skim ini,” tambahnya.

Semalam, sebuah mahkamah di New York menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Leissner berhubung peranannya dalam skandal penyelewengan 1MDB.

Hakim Margo Brodie mengecam tindakan Leissner sebagai “berani dan melampau,” sambil menegaskan bahawa walaupun kerjasamanya dengan pihak berkuasa diambil kira, ia tidak dapat menebus kerosakan besar akibat rasuah peringkat tinggi yang melibatkan pelbagai negara.

Leissner, yang merupakan bekas pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, mengaku bersalah pada 2018 berhubung konspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) dan terlibat dalam konspirasi pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Goldman Sachs memainkan peranan utama dalam penjualan bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB, dengan bantuan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Mengulas lanjut, Johari berkata Goldman Sachs mempunyai tanggungjawab terhadap negara-negara berdaulat, namun sebaliknya membenarkan salah laku yang mencemarkan nama baik Malaysia dan menyebabkan kerugian kewangan besar kepada negara.

Tambahnya, kerajaan Malaysia masih dalam pertikaian dengan Goldman Sachs berhubung jaminan pemulangan aset bernilai AS$1.4 bilion (RM6 bilion) yang belum diselesaikan, seperti yang dipersetujui dalam perjanjian penyelesaian tahun 2020.

“Perkara ini masih dalam proses timbang tara. (Hukuman ringan Leissner) ini tambah mengecewakan orang ramai dan mengukuhkan persepsi bahawa individu berkuasa boleh terlepas, (hanya) menanggung akibat yang minimum,” katanya.

Dalam sepucuk surat kepada mahkamah bertarikh 21 Mei, Goldman Sachs mengecam tindakan Leissner dan menuduhnya menipu rakan sekerja selama bertahun-tahun sehingga menyebabkan syarikat itu terlibat dalam kes jenayah pertama dan satu-satunya dalam sejarah 156 tahun penubuhannya.

Selepas skandal terbongkar, Leissner ditahan pada tahun 2018 dan menjadi saksi utama kerajaan AS.

Selepas bersetuju untuk bekerjasama, dia dibenarkan bebas sementara membantu pendakwaan dengan memberi keterangan terhadap bekas rakan sekerjanya, Roger Ng.

Ng, yang mengetuai bahagian perbankan pelaburan Goldman Sachs di Malaysia, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan pelanggaran undang-undang antirasuah.

Dia didapati bersalah di Brooklyn dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, namun pada 2023 telah dihantar pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen