Program bantuan komputer riba refurbished (terpakai dan dibaik pulih) di bawah Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) sedang diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN).
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Mitra P Prabakaran kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.
"Berhubung isu program bantuan komputer riba refurbished, ia sedang diaudit oleh JAN sejak April lalu.
"Saya harap hasil audit akan didedahkan dalam masa terdekat," katanya yang juga ahli Parlimen Batu.
Prabakaran diminta menjelaskan tindakan Mitra ke atas aduan pihak PIBG dan pembangkang berhubung projek tersebut yang didakwa tidak menyokong sistem pembelajaran di sekolah.
Program itu dilancarkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia R Ramanan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pada 2023.
Ramanan merupakan pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Mitra.
Menerusi program yang menelan belanja RM.26 juta itu, sebanyak 6,000 unit komputer riba refurbished diagihkan kepada 520 buah SJKT pada 31 Januari 2024.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam menyifatkan program itu sebagai gagal selepas komputer riba yang diberikan tidak dapat digunakan.
Dia turut mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyiasat program tersebut.
Bagaimanapun, Mitra menafikan dakwaan Subramaniam.
Ketika itu, Prabakaran berkata kajian keberkesanan program telah dilaksanakan dari 22 Ogos hingga 27 September 2024, dengan borang tinjauan telah diedarkan kepada semua 520 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
“Sebanyak 161 buah sekolah iaitu 31 peratus daripada 520 sekolah telah memberikan maklum balas. Berdasarkan hasil tinjauan, didapati 90 peratus sekolah menyatakan bahawa pemberian komputer riba ini membantu murid sekolah dalam Persekitaran Pembelajaran Maya (Virtual Learning Environment-VLE).
"Secara keseluruhan, tinjauan terhadap impak juga mendapati program ini telah memberi impak yang positif daripada pentadbir sekolah dan guru-guru," katanya.
Hari ini, Prabakaran mengesahkan Mitra dalam proses menghubungi pihak sekolah yang masih tidak memberikan maklum balas.
"Ada lebih 69 peratus masih tidak memberikan maklum balas. Kami sedang cuba menghubungi mereka untuk mendapatkannya," katanya lagi.

