Seorang lelaki yang melarikan diri dari tahanan polis ketika menunggu perbicaraan pada 2021, hari ini dihukum penjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar atas kesalahan merogol.
Abdul Hamim Ab Hamid, 36, yang juga dikenali sebagai Long Tiger dikenakan hukuman tersebut atas kesalahan yang dilakukannya empat tahun lalu.
Menurut laporan media, hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman terhadap Abdul Hamim selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dikemukakan.
Dalam penghakimannya, Irwan berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati pembelaan tertuduh hanyalah bersifat penafian semata-mata.
“Tambahan pula, pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh gagal menangkis kes prima facie yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan.
“Selepas mendengar hujahan lisan dan bertulis yang difailkan oleh kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah,” katanya yang dipetik Harian Metro.
Menuru Irwan mahkamah juga mendapati keterangan daripada isteri tertuduh – yang menjadi juga saksi pembelaan ke-11 – sebahagian besarnya adalah rekaan dan tidak boleh dipercayai.
Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa merogol seorang remaja berusia 19 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak, antara jam 1 tengah hari hingga 2.05 petang pada 26 Sept 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Sebelum hakim menjatuhkan hukuman, timbalan pendakwa raya Muhamad Arif Marzuki memohon supaya mahkamah mengambil kira kepentingan awam dengan berhujah, kesalahan tertuduh amat serius dan telah menyebabkan trauma yang mendalam kepada mangsa.
“Lebih menjijikkan apabila tertuduh merogol mangsa hanya beberapa hari selepas dia mengalami keguguran. Mangsa ialah pekerja tertuduh, namun dia tetap memperlakukannya sedemikian,” katanya.
Semasa prosiding, mahkamah memutuskan bahawa tempoh hukuman penjara Abdul Hamim bermula dari tarikh penangkapannya pada 7 Ogos 2021.
Pada masa ini, Abdul Hamim — seorang bapa kepada dua anak — dilaporkan sedang menjalani hukuman penjara empat tahun selepas Mahkamah Majistret Tangkak mendapati dia bersalah di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.
Dia perlu menghabiskan hukuman itu dahulu sebelum menjalani hukuman di bawah Seksyen 376(1).
Harian Metro juga melaporkan pada 20 Jan 2022, mahkamah yang sama menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Abdul Hamim kerana melarikan diri daripada tahanan pada 15 Dis 2021.
Media melaporkan Abdul Hamim memegang status pemastautin sementara dan memiliki kad pelarian yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

