Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) mendakwa setiausaha politik Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan, Kamil Abdul Munim gagal mempertahankan Anwar daripada dakwaan mengabaikan agenda reformasi.
NGO itu berkata kenyataan Kamil sebenarnya mendedahkan lagi masalah sistemik politik naungan sehingga ke peringkat kerajaan tempatan.
"Pelantikan ketua kampung sebagai ganjaran kepada kesetiaan parti masih merupakan pelantikan politik dan memang bercanggah dengan prinsip tadbir urus yang baik, tidak kira bagaimana ia diistilahkan.
"Perlu dinyatakan bahawa terdapat inisiatif yang jelas untuk parti politik mewujudkan rangkaian naungan (patronage) sehingga ke peringkat tempatan.
"Ketua kampung ada capaian dan keupayaan untuk mempengaruhi secara langsung pilihan pengundian masyarakat yang mereka selia.
"Oleh itu, risikonya ialah mereka mempengaruhi pilihan pengundian rakyat untuk memihak kepada parti politik yang melantik mereka, tidak kira sama ada ia adalah 'ganjaran' atau 'tanda penghargaan'," kata C4 Center.
'Ketua kampung sahaja'
Sebelum ini, Kamil mendakwa C4 telah tersalah tafsir konteks kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan gopoh dalam memberikan kritikan.
Menurut ketua Pemuda PKR itu, pelantikan politik yang dimaksudkan Anwar hanya melibatkan jawatan ketua kampung agar pemimpin akar umbi dapat terus berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat.
Anwar tidak menggunakan jawatan penting seperti menteri besar atau CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai ganjaran, jelas Kamil.
Bagaimanapun, C4 Center berkata hujah berkaitan pelantikan politik ke GLC masih tidak ditangani.
"Pihak eksekutif, melalui perdana menteri dan partinya, mempunyai kawalan yang luas ke atas badan berkanun, GLC, dan institusi awam ekoran kuasa pelantikan yang amat kurang dikawal.
"Dengan kenyataan terbaru yang mengakui dan mempertahankan pelantikan politik di peringkat tempatan, skala kuasa eksekutif menjadi lebih jelas, menonjolkan sistem yang telah berakar umbi di mana pengaruh politik meresap hampir setiap lapisan pentadbiran awam dan pihak berkuasa berkanun," katanya lagi,
'Ragu dengan komitmen reformasi'
Merujuk kedua-dua Anwar dan Kamil, C4 Center berkata "kebimbangan besar" adalah presiden dan ketua pemuda sebuah parti yang kononnya memperjuangkan reformasi tidak mengakui kesan merugikan akibat pelantikan politik, walaupun, seperti yang mereka dakwa, ia hanya di peringkat "ketua kampung".
"Keraguan besar kini timbul berhubung komitmen sebenar PKR untuk melaksanakan reformasi, terutama dengan pendedahan baru-baru ini bahawa politik wang telah memberikan pengaruh dalam parti.
"Semasa kempen pemilihan parti baru-baru ini, banyak kenyataan ahli dibuat berhubung perkara ini.
“Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli membuat beberapa dakwaan berkaitan politik wang, mengkritik hubungan PKR dengan ‘beberapa kumpulan’ yang amalannya ‘berkisar tentang wang dan keghairahan mereka untuk mendapatkan jawatan’.
"Ahli Parlimen Subang Wong Chen juga berkata PKR mempunyai ‘budaya politik busuk, dan politik wang telah timbul’.
"Nurul Izzah, yang merupakan anak Anwar dan menang jawatan timbalan presiden, menyatakan dia akan memperkenalkan langkah-langkah untuk membendung budaya politik wang dalam parti," katanya lagi.
C4 Center juga mempersoalkan sama ada pendedahan-pendedahan itu ada kaitan di sebalik kelambatan dalam melaksanakan Akta Pendanaan Politik, yang akan mengekang pelantikan politik dan politik wang.
"C4 Center mempertahankan kritikannya terhadap Anwar dan menegaskan pelantikan politik berdasarkan kesetiaan parti, walaupun melibatkan jawatan kepimpinan di peringkat tempatan, adalah amalan politik naungan.
"PKR sebelum ini meletakkan dirinya sebagai parti reformasi, tetapi kenyataan ini menunjukkan sebaliknya. Pembaharuan institusi amat diperlukan untuk mengelakkan budaya politik Malaysia daripada terus merosot.
"Ini akan melibatkan pembentangan Akta Pendanaan Politik, serta memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan bagi mengembalikan autonomi kepada masyarakat setempat untuk memilih pemimpin mereka, yang terpisah daripada politik naungan," kata C4 Center lagi.

