malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wee: Adakah A- dalam SPM kini dianggap B atau C?
Diterbitkan:  May 30, 2025 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM
ADS

Presiden MCA Wee Ka Siong membangkitkan persoalan mengenai penggredan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bertanya bagaimana ia akan memberi kesan terhadap permohonan ke program matrikulasi.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook, Wee bertanya jika gred A- dalam SPM tidak dianggap sebagai A, adakah ia dikira sebagai B atau C.

Dia turut mempersoalkan jika keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak mengklasifikasikan gred A- sebagai A dalam SPM akan memberi kesan kepada permohonan matrikulasi, memandangkan pengumuman terdahulu menyatakan pelajar yang memperoleh 10A akan dijamin mendapat tempat dalam program tersebut.

Katanya, tindakan KPM itu memberikan kesan yang tidak adil, bergantung kepada tahun pelajar menduduki SPM.

“Katakan ada dua beradik, seorang ambil SPM pada 2023 dan seorang lagi pada 2024. Kedua-duanya mendapat keputusan sama, 9A+ dan 1A-, cuma tahun (mengambil SPM) berbeza.

“Kakak dapat tawaran secara automatik terapi adik tidak secara automatik.

“Adakah ini adil kepada adik yang mencapai keputusan yang sama, sama-sama hebat, dan memiliki harapan yang sama seperti kakaknya?” soal Wee.

Wee membangkitkan persoalan itu seleaps Timbalan Presiden MIC M Saravanan menghantar surat rasmi kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Jumaat lalu, meminta pecahan terperinci jumlah pelajar India yang memohon dan ditawarkan tempat dalam program matrikulasi untuk tahun ini.

Menurut sumber, permintaan itu boleh menjadi “ujian litmus” utama yang pertama bagi Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, yang sebelum ini menyatakan komitmen secara terbuka untuk memperjuangkan hak masyarakat India Malaysia.

Surat Saravanan itu susulan banyak aduan yang diterima MIC daripada pelajar India mengenai permohonan matrikulasi mereka yang ditolak.

Malaysiakini difahamkan Fadhlina masih belum memberikan maklum balas terhadap surat tersebut.

Mengalihkan tiang gol

Mengulas lanjut, Wee mempersoalkan sama ada keputusan untuk menyingkirkan gred A- daripada klasifikasi A telah diluluskan oleh jemaah menteri atau tidak.

“Sepanjang pengetahuan saya, tak ada sebuah negara pun yang membuat perbezaan atau mengasingkan A+ dan daripada gred A- mengikut keadaan yang berbeza-beza, sama ada dalam kategori A atau tidak.

“Di mana nak letak maruah Lembaga Peperiksaan Malaysia? Kalau syaratnya 10A, maka gred A+, A dan A- harus diletakkan dalam kategori gred A. Ini logik dan telah lama diperakui dan diterima dunia,” katanya lagi.

Wee turut mengecam kerajaan yang menurutnya tidak konsisten, dan menyifatkan langkah itu sebagai contoh “mengalihkan tiang gol”.

“Adakah dasar ini secara ad hoc untuk 2025 dalam konteks pengambilan matrikulasi sahaja ataupan secara konsisten untuk semua?

“Macam mana dengan tahun depan? Macam mana dengan permohonan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam?” soalnya lagi.

Awal bulan ini, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA Felicia Wong menyatakan takrifan semula itu hanya diumumkan selepas keputusan SPM dikeluarkan.

Wong berkata perubahan mendadak seperti ini turut menimbulkan kebimbangan mengenai ketidakstabilan dasar pada masa akan datang, dan pelajar tidak sepatutnya dipaksa mempertaruhkan masa depan mereka atas piawaian yang tidak menentu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen