Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mempertahankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan kritikan terhadap cara agensi itu mengendalikan siasatan berhubung dakwaan rasuah di Sabah, dengan menegaskan bahawa proses undang-undang perlu dihormati.
Anwar buat pertama kali mengulas rasa tidak puas hati berhubung dakwaan tiada tindakan diambil SPRM sejak tularnya video yang mendakwa berlaku amalan rasuah dalam pemberian lesen carigali mineral di Sabah.
"Buat apa datang bicara yang enak-enak, saya nak terus-terang. Apa kritikan paling kuat di sini? Kerana pengedaran video yang tidak disiasat oleh SPRM, agensi persekutuan.
"Tentunya saya tidak campur pada mulanya, tetapi bila hal itu hangat, saya minta pandangan daripada SPRM ‘ni apa ni video-video ni?’.
"Tuduhannya bahawa kita menutup (isu tersebut), itu persepsi, dibangkitkan persepsi terutama di bandar seolah-olah ada usaha untuk menutup perbuatan rasuah dan kesalahan,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Penampang hari ini.
Pada 24 Mei lalu, Persatuan Pengusaha Lombong Sabah (PPGS) menggesa kerajaan memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat yang hanya dikenali sebagai “Albert” selepas dia mendedahkan skandal tersebut.

Kumpulan itu turut merujuk insiden pada masa lalu melibatkan pemberi maklumat dalam kes berprofil tinggi, termasuk penculikan Pamela Ling dan kematian Teoh Beng Hock—kedua-duanya dikaitkan dengan siasatan membabitkan individu berpengaruh.
Tiada perlindungan kepada pemberi maklumat
Dalam ucapannya, Anwar mengulangi pendirian bahawa perlindungan tidak akan diberikan kepada pemberi maklumat yang turut mengakui pernah menawarkan rasuah kepada pemimpin kerajaan Sabah.
Albert membuat laporan polis pada awal bulan ini, menyatakan kebimbangan terhadap keselamatannya serta merujuk kes Pamela Ling sebagai alasan mengapa pihak berkuasa perlu memberinya perlindungan.
Namun begitu, Anwar mengingatkan agar isu itu tidak dipolitikkan atau dijadikan dakwaan tidak berasas.
"Rasuah ini tidak ditangani dengan persepsi, tidak ditangani dengan fitnah… mesti melalui latihan nilai kita, prinsip kita dan tindakan yang tegas dari segi perundangan. Negara ini negara hukum, bukan negara persepsi, bukan negara tuduhan dan fitnah,” katanya.
Anwar berkata, SPRM telah memberikan taklimat kepadanya mengenai video tersebut, dan menyatakan bahawa klip awal yang diterima adalah 'sekerat-sekerat' dan tidak boleh diterima di mahkamah - terutamanya dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh menjejaskan ketulenan video.
"Apa jawapan rasmi? (SPRM jawab) kalau ikut hukum, video sekerat-sekerat ini boleh disiasat tapi tidak boleh didakwa. Tidak ada mahkamah yang akan terima video sekerat-sekerat, apalagi zaman teknologi kecerdasan buatan (AI), jadi sebab itu kena siasat.
"Jawapan mereka, ia disiasat tapi tidak boleh teruskan kerana belum ada keterangan. Orang yang mengeluarkan keterangan itu pun dia keluarkan sedikit (kenyataan), dia bicara dengan pembangkang sedikit, dihangatkan suasana, jadi tentunya kita kena jelaskan,” kata Anwar.
Anwar berkata video yang lengkap telah diserahkan kepada SPRM baru-baru ini, dan kini dirujuk untuk analisis forensik bagi menentukan ketulenannya.

Pada 29 April lalu, Albert dilaporkan menyerahkan sebuah telefon bimbit yang mengandungi mesej WhatsApp dan hampir 300 muka surat dokumen berkaitan kepada SPRM.
Pada hari yang sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata analisis forensik terhadap 10 klip video yang mengaitkan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan beberapa Adun yang diserahkan pada Mac — dijangka siap pada minggu berikutnya.
‘Perdana Menteri bukan diktator’
Anwar turut menjawab gesaan orang ramai agar dia mengambil tindakan dengan menegaskan peranannya sebagai perdana menteri dibatasi undang-undang.
"Jadi saya nak terangkan supaya semua faham, saya tidak mahu pegang jawatan dalam kerajaan untuk melindungi. (Ada pihak mengatakan) Perdana menteri mesti ambil tindakan, perdana menteri tidak tegas, perdana menteri sebut anti rasuah tapi mengizinkan (amalan rasuah).

"Ini perdana menteri bukan diktator pak, saya ikut hukum, saya kena lalui proses, saya tidak boleh tangkap begitu.
"Siasatan itu tugas SPRM atau polis, pendakwaan itu kerja peguam negara dan menghukum itu kerja hakim. Perdana menteri itu harus menjaga supaya sistem tersebut berjalan dengan betul.
"Bukan perdana menteri yang siasat, dakwa dan hukum. Itu diktator namanya. Kita pernah lalui dulu dan saya tahu itu, jangan minta saya ulang sistem begitu. Dan orang-orang itu yang dijaja sekarang,” ujarnya.

