malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas pegawai Goldman Sachs dipenjara 2 tahun, minta maaf pada M'sia
Diterbitkan:  May 30, 2025 9:55 AM
Dikemaskini: 1:55 AM
ADS

Sebuah mahkamah di New York, AS, menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, atas peranan yang utamanya dalam skandal rasuah 1MDB.

Leissner – yang menyatakan rasa kesal dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia – juga ditegur dengan keras oleh hakim Margo Brodie semasa prosiding hari ini (waktu AS).

Brodie mengutuk tindakan Leissner sebagai “berani dan tidak tahu malu” sambil menegaskan, walaupun bekas pegawai bank itu memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa, ia tetap tidak dapat membatalkan kerosakan besar yang didilakukan oleh rasuah peringkat tinggi yang melibatkan pelbagai negara.

Menurut Reuters, suara Leissner, 55, bergetar semasa dia membaca kenyataannya dalam prosiding tersebut.

“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf dengan setulusnya kepada rakyat Malaysia. Saya amat menyesali tindakan saya,” katanya.

Leissner memberitahu mahkamah bahawa skandal itu menyebabkan dia kehilangan kebebasan, keluarga, dan kebebasan kewangannya. Dia juga mendedahkan kesihatannya merosot teruk, menyebabkan terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan dan berdepan dengan kehilangan semangat untuk terus hidup.

Menurut dokumen pihak pendakwa, Leissner bertemu dengan pegawai kerajaan sebanyak puluhan kali, dan menyemak pelbagai dokumen serta komunikasi yang berkaitan dengan skim 1MDB dan isu lain.

Disebabkan bantuan besar yang diberikan, pihak pendakwa mencadangkan agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih ringan daripada garis panduan standard.

Disalurkan ke syarikat palsu

Dalam sepucuk surat kepada mahkamah bertarikh 21 Mei, Goldman Sachs mengecam tindakan Leissner dan menyatakan dia menipu rakan sekerjanya selama bertahun-tahun.

Tindakan itu akhirnya membawa kepada kes jenayah pertama dan satu-satunya dalam sejarah firma itu selama 156 tahun.

“Kami menghormati keputusan mahkamah hari ini dan Leissner bersedia untuk menjalani hukumannya serta meneruskan kehidupan masa depannya dengan kerja-kerja kebajikan dan menjaga keluarganya,” kata peguamnya, Henry Mazurek.

Leissner yang pernah menjadi pengerusi rantau Asia Tenggara untuk Goldman Sachs mengaku bersalah pada 2018 atas tuduhan konspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) serta terlibat dalam konspirasi pengubahan wang haram – kesemuanya berkait rapat dengan skandal 1MDB.

Goldman Sachs memainkan peranan utama dalam penjualan bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB dengan bantuan ahli kewangan yang masih diburu polis, Jho Low.

Bagaimanapun, sebahagian besar dana tersebut telah disalurkan secara haram ke akaun bank luar pesisir dan syarikat palsu yang dikaitkan dengan Low.

Selepas skandal itu terbongkar, Leissner ditangkap pada 2018 dan kemudian menjadi saksi utama kerajaan AS.

Setelah bersetuju untuk bekerjasama, dia dibenarkan untuk bebas sementara membantu pihak pendakwa dengan memberi keterangan terhadap bekas rakannya, Roger Ng.

Ng – yang mengetuai bahagian perbankan pelaburan Goldman di Malaysia – mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram dan pelanggaran undang-undang antirasuah.

Ng telah disabitkan bersalah di Brooklyn dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, namun dipindahkan ke Malaysia pada 2023 untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen