malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hubungan Putrajaya-Sabah harus intim, saling percaya
Diterbitkan:  May 30, 2025 8:44 AM
Dikemaskini: 12:44 AM
ADS

Hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Sabah harus intim serta berdasarkan sikap saling percaya dalam usaha membela nasib negeri itu dan rakyatnya, kata perdana menteri.

Menurut Anwar Ibrahim hubungan kukuh di antara kedua-duanya terbukti berkesan memajukan negeri dan membantu rakyat seperti yang dapat dilihat melalui peningkatan hubungan Persekutuan dengan Sarawak.

Dia yang juga menteri kewangan berkata kerajaan Persekutuan komited untuk terus bekerjasama dengan kepimpinan Sabah dalam pelbagai aspek terutama pembangunan dan pentadbiran bagi memastikan kepentingan serta kebajikan rakyat di Negeri di Bawah Bayu itu sentiasa terpelihara.

‘’Disebabkan itu saya mengusulkan supaya rakyat Sabah mengambil kira ini, mesti ada jaringan yang kuat dengan Sabah, antara kerajaan.

‘’Kita juga tahu bahawa selama ini kita ambil berat tentang Sabah. Ini bukan soal kerana ada pilihan raya negeri (PRN),’’ katanya pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan bersama pemimpin PH Sabah di Kota Kinabalu malam tadi.

Turut hadir Pengerusi PH Sabah yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Ewon Benedick; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Mustapha Sakmud dan Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe.

Anwar berkata di bawah pentadbirannya, kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen jitu dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bersama menteri-menteri dari Sabah dan Sarawak.

Katanya hasil kesungguhan itu, sembilan perkara utama yang tertangguh selama berpuluh tahun telah berjaya diselesaikan malah isu lebih mencabar seperti hal ehwal minyak dapat dirungkai.

‘’Jadi kita usulkan prinsip yang sama supaya hasil yang lebih, yang terjamin untuk Sabah… bukan disalahgunakan... bagi saya, soal ketelusan soal tatakelola, itu keutamaan.

"... bukan cari pemimpin-pemimpin hendak rebut kekayaan untuk mereka sendiri … tetapi untuk menggunakan kesempatan membela nasib rakyat. Kerajaan inilah yang dipertahankan dan didukung untuk rakyat kita,’’ katanya.

Anwar berkata kerajaan Persekutuan membuktikan kesungguhan untuk mempertahankan hak Sabah terutamanya dalam menangani isu tuntutan Kumpulan Sulu yang berjaya ditepis dan diatasi sekali gus mempertahankan maruah negeri sebagai sebahagian daripada Malaysia.

‘’Kita beri komitmen yang penuh dalam mesyuarat jemaah menteri malah dalam sidang Asean baru-baru ini, kita dapat pertahankan supaya isu Sabah sentiasa diutamakan,’’ katanya.

Ditanya mengenai langkah kerjasama dalam PRN Sabah, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata PH Sabah kini mengadakan perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN Sabah.

‘’Biar PH Sabah memutuskan, mereka berunding dengan GRS, berunding dengan BN Sabah. Ketua-Ketua PH Sabah ini mereka akan ke depan dan selaraskan.

"Sekarang ini nampak mesyuarat semua berjalan dan kita tidak rasa ada masalah,’’ katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen