malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kumpulan siswa kecam k'jaan Sabah halang kemasukan Fahmi Reza
Diterbitkan:  May 29, 2025 10:47 PM
Dikemaskini: 2:47 PM
ADS

Kumpulan belia bebas, Mandiri mengecam tindakan kerajaan Sabah yang menghalang kemasukan aktivis Fahmi Reza ke negeri itu.

Penyelaras Mandiri, Hamdin Nordin, menyifatkan insiden tersebut sebagai satu penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Sabah.

"Fahmi Reza tidak melakukan sebarang jenayah. Saudara Fahmi Reza hanya mempraktikan hak kebebasan bersuara untuk melawan rasuah dan menegur salah guna kuasa.

"Tindakan ini bukan sahaja melanggar prinsip demokrasi, malah memalukan nama Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang sepatutnya menghormati hak rakyat untuk bersuara dan bergerak bebas," kata Hamdin dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, Fahmi dihalang memasuki Sabah dan dihantar pulang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Aktivis yang juga pelukis itu mendakwa di media sosial bahawa arahan pengusiran itu dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Pada Disember tahun lalu, Fahmi ditahan di Sabah kerana menampal karikatur yang menggambarkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, sebagai individu yang korup.

Dia kemudiannya dihantar pulang dari negeri itu pada awal Januari.

Dalam kenyataannya, Hamdin menuntut Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat tentang sebab sekatan ini dibuat.

Dia juga menuntut pihak Imigresen Malaysia menghentikan serta-merta penggunaan Seksyen 65(1)(a) terhadap aktivis atau sesiapa sahaja yang mengkritik kerajaan secara aman.

"Seksyen 65(1)(a) Akta Imigresen tidak sepatutnya digunakan untuk melindungi ahli politik daripada kritikan. Undang-undang mesti digunakan secara adil, bukan ikut kepentingan politik," katanya.

Peruntukan undang-undang berkenaan memberi kuasa kepada kerajaan negeri di Malaysia Timur untuk mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen menghalang kemasukan seseorang ke Sabah atau Sarawak.

Kerajaan negeri juga boleh membenarkan seseorang masuk ke negeri-negeri Malaysia Timur dengan syarat-syarat tertentu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen