Gabungan Selamatkan Musang King (Samka) sedang mempertimbangkan untuk menyelesaikan isu ladang durian tanpa lesen di luar mahkamah bersama kerajaan negeri Pahang.
Langkah itu diambil susulan satu ancaman baru daripada sebuah syarikat yang didakwa menceroboh ladang, menghalau pekebun, dan menanda pokok durian tanpa menunjukkan bukti ia bekerjasama dengan kerajaan negeri.
“Disebabkan ancaman baru ini dan selepas berbincang dengan peguam serta semua pihak terlibat, Samka sedang mempertimbang penyelesaian luar mahkamah dengan Royal Pahang Durian Resources (RPDR).
“Ini supaya kami dapat tumpukan usaha undang-undang kepada syarikat baru yang lebih mendesak,” kata kenyataan Samka.
Samka percaya syarikat itu mahu mengaut keuntungan daripada hasil usaha pekebun tanpa memberi pampasan.
Kerajaan Pahang kini sedang berusaha mengambil semula ladang durian tanpa lesen secara besar-besaran melalui usaha sama antara badan berkanun negeri, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan syarikat swasta yang berkait dengan kerabat diraja, Royal Pahang Durian Resources (RPDR).
Tindakan ini mencetuskan pertikaian antara pekebun dan pihak berkuasa kerajaan negeri pada April lalu ketika pihak berkuasa cuba menebang pokok durian Musang King di tanah yang masih dalam pertikaian berhampiran Sungai Klau.
Dalam kenyataan lanjut, Samka berkata syarikat baru itu mungkin sedang berusaha untuk menguasai sehingga 6,000 ekar ladang durian tanpa lesen — keluasan yang melebihi tanah yang dipertikaikan oleh kerajaan negeri, sekali gus memberi kesan kepada ratusan lagi pekebun.

Menurut maklumat dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pengarah syarikat itu bukan orang Pahang, tetapi dari Pulau Pinang dan Sarawak. Syarikat itu juga baru ditubuhkan kurang setahun.
Samka meminta kerajaan negeri menjelaskan bagaimana tanah seluas itu boleh diberi kepada orang luar, dan kenapa mereka dibenarkan mengaut keuntungan daripada usaha pekebun tempatan tanpa kebenaran.
Sebelum ini, pekebun terbabit mendakwa kerajaan negeri melanggar perintah mahkamah dengan menebang ratusan pokok Musang King.
Namun kerajaan negeri menafikannya. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Saiful Edris Zainuddin berkata, pokok-pokok durian berkenaan ditanam atas tanah yang diceroboh secara haram, dan oleh itu tidak tertakluk kepada perintah mahkamah.
Mahkamah Rayuan juga menolak permohonan pekebun untuk menangguhkan perintah pengusiran atas alasan pemohon tidak mengikut prosedur undang-undang yang betul. Saiful turut menegaskan bahawa tanah tersebut adalah milik kerajaan negeri.

