malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Biar Rafizi berhenti, jangan pujuk -  Nazri
Diterbitkan:  May 29, 2025 5:52 PM
Dikemaskini: 9:53 AM
ADS

Tindakan Rafizi Ramli meletakkan jawatan menteri ekonomi memang wajar dan bekas timbalan presiden PKR itu tidak perlu dipujuk, kata veteran politik Mohamed Nazri Abdul Aziz.

“Dalam bahasa Inggeris ia disebut it's a given (jelas), anda perlu berhenti kerana kalah dalam pemilihan,” kata bekas menteri Umno dan duta Malaysia ke Amerika Syarikat itu.

Nazri memperingatkan kenyataan berjela-jela berkaitan keputusan itu sebagai mungkin mempunyai muslihat.

“Tidak perlu buat kenyataan berjela-jela seperti hanya anda yang paling bagus bila pegang menteri.

“Buat kenyataan panjang lebar selalunya ada muslihat mahu dipujuk agar tidak letak jawatan.

“Saya harap PMX tidak rayu kerana ia akan jadi kelebihan  pula kepada yang mahu berhenti ini.

“Biarkan sahaja kerana ada ramai lagi yang berbakat boleh ditonjolkan,” katanya.

Timbalan presiden baru PKR Nurul Izzah Anwar dan mantan penyandang Rafizi Ramli (kanan sekali)

Rafizi semalam mengumumkan peletakan jawatan daripada jemaah menteri, berkuat kuasa 17 Jun, kira-kira dua minggu dari sekarang.

Katanya, kekalahannya dalam pemilihan PKR minggu lepas memberi isyarat jelas bahawa dia tidak lagi mempunyai mandat politik untuk terus menterjemahkan agenda parti dalam kerajaan.

Sekutunya Nik Nazmi Nik Ahmad, penyandang jawatan naib presiden PKR, turut meletakkan jawatan dalam kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, mengulas sikap sesetengah pihak yang kecewa dalam pemilihan hingga sanggup keluar parti, Nazri menasihatkan agar berfikir panjang.

“Sehebat mana pun kita, ia tidak sebesar parti,” katanya.

Katanya, ramai yang bertindak demikian akhirnya tidak ke mana-mana.

“Hanya Anwar yang mampu jadi lebih besar dari parti asalnya. 

“Beliau dibuang oleh Umno dan kini Umno bekerja di bawahnya,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen