malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RUU Perubahan Iklim Negara dibentang Ogos
ADS

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membentangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) pada persidangan Parlimen, Ogos ini.

Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo berkata draf RUUPIN itu telah siap dan ketika ini dalam semakan Jabatan Peguam Negara.

"Proses semakan draf rang undang-undang itu dijalankan selepas NRES menyelesaikan sesi rundingan dengan kerajaan-kerajaan negeri memandangkan pelaksanaan RUU terbabit turut melibatkan bidang kuasa negeri.

"Kita bercadang membawanya ke Parlimen (untuk pembentangan) pada sesi akan datang iaitu Ogos. Sebelum ini ia ditunda pada Jun kerana kita perlu ruang untuk pemurnian memandangkan RUU melibatkan sesi rundingan bersama kerajaan negeri sebab ia melibatkan hak negeri juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Kelestarian Alam 2.0 di Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pada Januari berkata rang undang-undang itu mengambil kira pandangan pelbagai pihak bagi memastikan kandungannya lebih komprehensif dan relevan.

Mengulas mengenai penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam negara, Ching berkata pencapaian semasa menunjukkan Malaysia berada pada landasan positif untuk mencapai 70 peratus sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui selaras matlamat digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

"Kalau kita teliti pecahan penggunaan pada ketika ini dilihat lebih kepada solar panel yang saya fikir sudah mencapai hampir 95 peratus dan secara keseluruhan penggunaan RE mengikut data di PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air) kita sudah mencapai kira-kira 40 peratus," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen