malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kertas siasatan pempengaruh disyaki hantar gambar lucah dirujuk pada TPR
ADS

Polis telah menyerahkan kertas siasatan kes seorang pempengaruh media sosial disyaki menghantar gambar berbaur lucah kepada seorang remaja perempuan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada Pejabat TPR untuk tindakan lanjut selepas suspek berusia 22 tahun itu diberi jaminan polis pada hari yang sama.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat mangsa lain yang turut mengalami kes sama, beliau berkata tiada sebarang laporan polis diterima buat masa ini.

“Setakat ini, tiada laporan lain yang kami terima membabitkan suspek. Hanya kes itu (remaja perempuan terbabit) diterima,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak hari ini.

Pada 23 Mei lepas media melaporkan seorang pempengaruh direman empat hari dan disambung dua hari sehingga 27 Mei, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar gambar berbaur lucah kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen