Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak perlu menunggu sehingga tempoh jawatan seseorang menteri tamat sebelum menamakan penggantinya, kata bekas menteri Saifuddin Abdullah.
Merujuk peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri, semalam, Saifuddin berkata tiada protokol rasmi menghalang perdana menteri daripada mengumumkan pengganti semasa kedua-dua mereka bercuti.

“Ini budi bicara perdana menteri... pengumuman rombakan (kabinet) boleh dilakukan sekarang, (kerana) menteri bukan penjawat kerajaan yang tertakluk kepada peraturan tertentu berhubung peletakan jawatan mereka.
"Menteri berkhidmat atas arahan perdana menteri. Mungkin ini cara beliau (Anwar) untuk mengelakkan perkara sebenar," kata Saifuddin kepada Malaysiakini.
Ahli parlimen Bersatu itu merujuk kepada kenyataan Anwar awal hari ini bahawa jawatan menteri yang disandang oleh Rafizi dan Nik Nazmi tidak boleh digantikan ketika mereka sedang bercuti.
Mengulas perkara itu, Saifuddin berkata memandangkan mereka sedang menghabiskan cuti tahunan, pengganti mereka hanya akan mengambilalih sebaik sahaja menteri-menteri itu mengosongkan pejabat masing-masing.

"(Anwar) boleh lakukan rombakan kabinet pada bila-bila masa. Tetapi, memandangkan beliau meluluskan permohonan cuti mereka, tarikh sebenar menteri baru untuk masuk pejabat perlu ditangguhkan kerana kita tidak boleh bayar dua gaji bertindih," katanya.
Rafizi - menteri ekonomi - sedang bercuti sehingga 16 Jun, dengan 17 Jun ditetapkan sebagai hari terakhirnya memegang jawatan.
Sementara itu, Nik Nazmi - menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar - sedang bercuti sehingga 3 Julai, dengan hari terakhirnya memegang jawatan pada 4 Julai.
Pejabat Perdana Menteri semalam menyatakan Anwar telah meluluskan permohonan cuti mereka, tetapi tidak menyebut sama ada peletakan jawatan mereka diterima.

Pengumuman peletakan jawatan mereka, hanya selang beberapa jam, menyusuli selepas kekalahan mereka dalam pemilihan PKR minggu lalu. Rafizi kehilangan jawatan timbalan presiden manakala Nik Nazmi disingkirkan daripada jawatan naib presiden.
Kedua-dua menteri itu menyebut kekalahan mereka pada pemilihan parti sebagai punca di sebalik peletakan jawatan sambil berikrar untuk terus berkhidmat di kawasan parlimen masing-masing sebagai penyokong kerajaan.

