malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Roh perjuangan Rafizi dan Nik Nazmi kekal bersama kita’
Diterbitkan:  May 29, 2025 1:06 PM
Dikemaskini: 5:06 AM
ADS

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Akmal Nasir menyifatkan roh dan semangat perjuangan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad akan berkekalan bersama parti itu.

Mengulas mengenai peletakan jawatan menteri ekonomi dan menteri sumber asli dan kelestarian alam itu menurutnya, ia satu keputusan berat dan sukar diterima.

“Sejujurnya, bukan sahaja parti tetapi negara kehilangan pemuka hadapan yang progresif dan futuristik. 

“Segala tunjuk ajar serta teladan yang diberikan Rafizi akan terus menjadi pedoman untuk saya menjalankan amanah dan tugas dalam masa yang berbaki ini.

“Tatkala negara akan terus hadapi cabaran yang sukar pada masa yang mendatang, roh semangat perjuangan saudara Rafizi dan saudara Nik Nazmi akan terus bersama kita semua,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Nik Nazmi (kiri) dan Rafizi

Semalam Rafizi dan Nik Nazmi yang masing-masing gagal mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti baru-baru ini, mengumumkan peletakan jawatan mereka.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, sepanjang tempoh kempen pemilihan, Rafizi dan rakan-rakan cekal mempertahankan asas perjuangan parti walaupun terpaksa menongkah arus melalui Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (Hiruk).

“Akhirnya, Allah dan rakyat juga yang akan menjadi hakim kepada amalan, usaha dan pendirian yang kita ambil selaku pemimpin politik.

“Kita berdoa ke hadrat Allah agar terus diberikan kekuatan dalam menempuh ujian kuasa amat berat ini,” katanya yang juga timbalan menteri peralihan tenaga dan transformasi air.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen