Ahli akademik, Tajuddin Mohd Rasdi, meluahkan ketidaksetujuannya terhadap dakwaan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, yang menyifatkan reformasi hanyalah slogan kosong.
Dalam satu kenyataan balas yang tajam, profesor seni bina itu merujuk kepada pemenjaraan bekas perdana menteri, Najib Razak, sebagai contoh konkrit reformasi yang sedang berlaku.

“Reformasi bukan slogan kosong bagi saya apabila kita lihat seorang bekas presiden Umno kini tinggal berhampiran rumah saya di Kajang (penjara),” katanya sebagai respons kepada Puad, yang diketahui sebagai penyokong tegar Najib.
“Reformasi bukan slogan kosong apabila seorang lagi pemimpin Umno sedang disiasat dengan RM170 juta ditemui di lokasi yang dikaitkan dengannya,” tambah Tajuddin, merujuk kepada bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Tajuddin turut menyenaraikan beberapa contoh lain bagi mempertahankan maksud sebenar reformasi, termasuk skandal air Sabah.
“Reformasi bukan slogan kosong apabila orang kaya T20 merungut kepada saya bahawa terlalu ramai anak-anak B40 diutamakan memasuki MRSM hingga anak-anak mereka yang berada tidak terpilih.
“Reformasi bukan slogan kosong apabila kebebasan menghina menteri dan perdana menteri begitu berleluasa di media sosial tanpa sebarang adab atau balasan.
“Reformasi bukan slogan kosong apabila seorang pelajar universiti biasa boleh berdepan dengan perdana menteri dengan soalan sensitif yang ditonton oleh jutaan orang.

“Reformasi bukan slogan kosong apabila Presiden Umno, Zahid Hamidi, sendiri menasihati Umno supaya mengambil pendekatan yang lebih centrist berbanding pendekatan ekstrem,” katanya lagi.
Bercanggah dengan pengkritik yang mendakwa agenda reformasi Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan telah “mati”, Tajuddin yakin ia masih “hidup”.
“Tetapi ia diselubungi bebanan rasuah dan ekstremisme yang ditinggalkan oleh pihak lain. Reformasi memerlukan masa yang lebih lama dengan beban ini.
“Reformasi juga ada untuk membantu BN dan Umno mengembalikan semangat asal Malaysia untuk semua dan bukan untuk segelintir sahaja,” tegasnya.

Semalam, Puad menyebut pengunduran Rafizi Ramli daripada kabinet selepas tewas dalam pemilihan PKR sebagai bukti bahawa seruan reformasi hanya retorik kosong.
“Ia menunjukkan reformasi sekadar bunyi. Ia gagal bukan kerana godaan kuasa, tetapi kerana tiada kemahuan untuk melaksanakannya,” hujah Puad.
Mengulas lanjut, Tajuddin menyatakan bahawa Rafizi meletak jawatan selepas tewas dalam pemilihan yang demokratik dan menekankan bahawa Rafizi sendiri tidak mengemukakan sebarang bukti berlaku salah laku pilihan raya parti.

“Sebagai seorang yang berintegriti, dia letak jawatan kerana dia tidak lagi memegang kedudukan kukuh dalam parti, sebagaimana amalan dalam kebanyakan parti yang berintegriti di seluruh dunia.
“Malah Tun M (Dr Mahathir Mohamad) sendiri meletak jawatan apabila beliau tahu parti tidak lagi mahukannya akibat tindakannya terhadap Anwar yang ditolak hebat oleh orang Melayu,” katanya.

