malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Astora Jabat saran Rafizi tukar nama
Diterbitkan:  May 29, 2025 12:00 PM
Dikemaskini: 4:02 AM
ADS

Penulis agama kontroversi Astora Jabat menyarankan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli menukar nama atas alasan namanya tidak sesuai bagi golongan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Gesaan itu dibuat sehari selepas Rafizi meletakkan jawatan kabinet setelah gagal mempertahankan kerusi timbalan presiden PKR di tangan Nurul Izzah, anak sulung perdana menteri Anwar Ibrahim.

Astora, atau nama sebenarnya Hassan Abdul Rahman, berkata Rafizi adalah nama pejoratif (mempunyai makna tidak menyenangkan serta berbentuk cemuhan) yang digunakan kepada golongan yang menolak kekhalifahan Abu Bakar dan Umar.

“Dalam erti kata lain, istilah itu membawa maksud ‘penolak’ atau ‘pengingkar’, iaitu merujuk kepada mereka yang menolak selain Ali sebagai khalifah selepas Rasulullah SAW,” katanya.

Bagaimanapun, kata lulusan Timur Tengah yang pernah berkhidmat dengan syarikat media Utusan Melayu Sdn Bhd itu, nama itu tidak menjadi masalah jika Rafizi berpegang kepada fahaman itu.

Dia juga berkata, jika nama "Rafizi" bukan berasal daripada tradisi Islam atau Arab, sebaliknya ciptaan kontemporari Melayu, apabila ditransliterasi ke dalam tulisan Arab (dengan ejaan berbeza), ia menjadi neutral dan tidak membawa makna khusus.

“Walau begitu, kekeliruan tetap boleh berlaku,” kata bekas ketua pengarang majalah Al-Islam

Sementara itu, Astora mengingatkan bahawa Nabi Muhammad sangat menitikberatkan pemilihan nama yang baik. 

Katanya, bukan sahaja menyuruh memilih nama yang baik, malah baginda sendiri menukar nama-nama yang membawa makna buruk kepada nama yang lebih baik.

“Nama buruk memberi kesan psikologi negatif kepada pemilik dan masyarakat.

“Nama adalah doa — dalam Islam, nama melambangkan harapan dan identiti.

“Nama buruk boleh bertentangan dengan akhlak Islam.

“Penukaran nama menjadi simbol hijrah kepada kehidupan yang lebih baik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen