malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mas Ermieyati persoal langkah Asyraf Wajdi guna peguam Mara
Diterbitkan:  May 29, 2025 11:53 AM
Dikemaskini: 3:53 AM
ADS

Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin menyatakan rasa kesal kerana mendakwa Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Asyraf Wajdi Dusuki menggunakan peguam agensi itu untuk mengemukakan saman peribadi.

Menegaskan tidak gentar dengan ugutan saman Asyraf Wajdi itu, Mas Ermieyati berkata, peguam lantikan Mara sepatutnya bertanggungjawab untuk membela institusi dan hak serta kebajikan pelajar agensi berkenaan saja.

“Ini bukan soal ego politik, ini soal nasib anak bangsa. Janganlah digunakan duit rakyat untuk tutup suara rakyat pula.

“Saya tidak akan sesekali gentar dengan ugutan saman seperti ini.

“Saya akan terus bersuara demi anak-anak bumiputera, demi pelajar-pelajar latihan teknikal dan vokasional (TVET), demi rakyat Malaysia dan negara tercinta,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Mas Ermieyati yang juga Ketua Wanita PN menambah, dia menyerahkan isu berkenaan kepada proses undang-undang dan bersedia berdepan dengan ahli politik berkenaan “di mana-mana medan” termasuk di mahkamah.

Katanya dia berbuat demikian “demi Malaysia yang saya cintai.”

Terdahulu Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebook mendakwa Mas Ermieyati memfitnahnya menghabiskan duit Mara dan tidak membiayai pelajar aliran TVET.

Justeru Asyraf Wajdi berkata barisan peguam Mara akan memulakan prosiding saman ke atas Mas Ermieyati.

“Mula-mula saya ingat malas nak layan tapi sudah melampau dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan. See you in court YB Mas!” katanya.

Menjawab kenyataan Wasyraf Wajdi, Mas Ermieyati berkata tindakan tersebut diambil susulan daripada kritikan terbukanya terhadap kelewatan serta kelemahan pemprosesan pinjaman pendidikan TVET di bawah Mara.

Tegasnya, kritikan yang kemukakannya itu merupakan suara rakyat.

Bangkitkan isu belanja jelajah

“Ini adalah sebahagian daripada mesej-mesej dan aduan-aduan yang dikemukakan oleh rakyat kepada saya terutamanya ibu bapa serta para pelajar yang kecewa dengan ketidaktentuan masa depan pendidikan mereka.

“Saya suarakan sebagai ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat dan yang diberi amanah oleh rakyat.

“Jika Asyraf Wajdi merasakan suara rakyat ini merupakan satu fitnah, dia sepatutnya menjawab dengan mengemukakan fakta-fakta, bukannya dengan ugutan saman. Ingin diingatkan bahawa Mara adalah institusi rakyat,” katanya.

Dia turut melontarkan beberapa persoalan dan meminta Setiausaha Agung Umno itu menjawab. Antaranya berkait permohonan pinjaman pelajaran.

“Adakah permohonan pinjaman pelajaran bagi pengambilan pelajar Mac 2025 secara online masih belum dibuka? Kenapa dan bilakah permohonan akan dibuka kembali?

“Bilakah Mara akan menyelesaikan isu pinjaman pelajar TVET?” soalnya sambil membangkitkan isu perbelanjaan Asyraf Wajdi menjelajah dalam dan luar negara.

“Adakah perbelanjaan jelajah (Asyraf Wajdi) seluruh negara dan luar negara dan rombongan menggunakan dana awam?

“Jika benar, berapakah jumlahnya dan siapa ahli rombongan yang mengikutinya?” soal Mas Ermieyati lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen