malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rombakan kabinet PKR: Selangor tidak terkecuali?
Diterbitkan:  May 29, 2025 11:43 AM
Dikemaskini: 3:43 AM
ADS

Susulan keputusan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan masing-masing dalam kabinet, semalam, kini timbul spekulasi bahawa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bakal dilantik ke jawatan persekutuan yang belum diumumkan.

Langkah ini boleh disandarkan kepada hujah yang digunakan sendiri oleh Rafizi dan Nik Nazmi berkenaan keperluan susunan kabinet mencerminkan keputusan pemilihan PKR.

Rafizi (kiri) bersama Nik Nazmi

Walaupun Rafizi tewas dalam pemilihan timbalan presiden dan Nik Nazmi gagal merebut jawatan naib presiden, Amirudin pula mencatat pencapaian cemerlang – memperoleh undi tertinggi dalam kalangan empat naib presiden yang dipilih.

Namun begitu, Amirudin tidak menunjukkan minat untuk menyertai kabinet persekutuan.

Didesak ke pusat

Tahun lalu, ketika timbul spekulasi sama, Amirudin menyatakan hasratnya untuk kekal sebagai menteri besar sehingga tamat penggal pada 2028.

Dia menyebut tentang nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, agar memastikan perpaduan dan kestabilan negeri sebagai sebab utama.

Namun, jika perancangannya berubah, seorang pengganti perlu dicari untuk mengisi jawatan menteri besar.

Dua nama berpotensi disebut-sebut. Calon pilihan Amirudin dipercayai adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Sepat, Borhan Ahmad Shah – yang juga merupakan bekas pembantunya.

Borhan (kiri), Amirudin (tengah) dan Fahmi

Namun, seorang lagi calon yang disebut-sebut ialah Adun Seri Setia, Fahmi Ngah – yang dipercayai rapat dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Siapa akan tersingkir

Selepas pilihan raya negeri Selangor pada 2023, timbul khabar angin bahawa nama Fahmi turut dikemukakan bersama nama Amirudin kepada Sultan Sharafuddin untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar.

Walau bagaimanapun, peluang Fahmi untuk naik mungkin terjejas sekiranya Amirudin kekal sebagai menteri besar.

Terdapat jangkaan bahawa Fahmi akan digugurkan daripada jawatan exco dalam kabinet Amirudin – sekali lagi selaras dengan keputusan pemilihan PKR dijadikan alasan.

Walaupun dikatakan rapat dengan presiden parti, Fahmi tewas dalam perebutan jawatan timbalan ketua cabang PKR Petaling Jaya.

Fahmi Ngah

Dia juga gagal memperoleh tempat dalam Jawatankuasa Kepimpinan Pusat.

MalaysiaGazette melaporkan bahawa antara nama yang sedang dipertimbangkan untuk menggantikan Fahmi ialah Adun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri; Adun Kota Damansara, Izuan Kassim; dan Adun Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman – lebih dikenali sebagai Altimet.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen