malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas hakim cadang tambah baik dasar padam berita portal
Diterbitkan:  May 28, 2025 9:37 PM
Dikemaskini: 1:41 PM
ADS

Seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan hari ini mencadangkan agar Majlis Peguam mengusulkan pindaan undang-undang bagi memperkukuh dasar tarik balik siaran (takedown policy) terhadap kandungan penerbitan dalam talian.

Bercakap pada satu forum di Kuala Lumpur, Harmindar Singh Dhaliwal merujuk kes Malaysiakini pada tahun 2021, apabila panel Mahkamah Persekutuan memutuskan portal berita itu bersalah menghina mahkamah.

Ini meskipun Malaysiakini telah mengambil langkah memadamkan komen pembaca yang dianggap menghina selepas dimaklumkan oleh pihak berkuasa.

Menyifatkan insiden itu sebagai “kes yang malang”, Harmindar berpendapat tarik balik siaran sepatutnya berperanan sebagai “injap keselamatan” bagi laman berita dalam talian.

"...kerana jika tidak, apa gunanya dasar turun siar? Dasar ini wujud di banyak negara. Ia seperti injap keselamatan.

"Kalau secara tidak sengaja ada komen yang muncul dan penerbit menyedari dengan terkejut bahawa ia bersifat mencerca, menghina, merendahkan dan sebagainya, maka mereka ada ruang untuk memadamkannya dan mungkin memohon maaf atau tindakan sewajarnya.

"Jadi itu satu keadaan yang malang, tetapi ia kini menjadi autoriti. Mungkin jawatankuasa boleh melihat semula dasar ini dan memperketatkannya agar mahkamah terikat dengannya,” katanya.

Harmindar antara lima panelis forum anjuran Jawatankuasa Undang-undang Sivil dan Reformasi Undang-undang Majlis Peguam bertajuk ‘Reformasi Undang-undang Fitnah: Menilai Semula Akta Fitnah 1957’yang berlangsung awal hari ini.

Acara itu diadakan bagi membincangkan cadangan reformasi yang sedang digarap oleh jawatankuasa tersebut terhadap Akta yang tidak pernah dipinda sejak diperkenalkan lebih enam dekad lalu.

Pada 19 Februari 2021, Malaysiakini didenda sebanyak RM500,000 kerana menghina mahkamah berhubung komen pembaca di portal beritanya.

Dalam keputusan majoriti 6-1, panel Mahkamah Persekutuan memutuskan Malaysiakini bersalah menghina mahkamah atas komen pembaca yang muncul dalam artikel bertarikh 9 Jun 2020 bertajuk "Ketua Hakim arah semua mahkamah beroperasi penuh mulai 1 Julai".

Sementara itu, forum tersebut turut membincangkan isu tanggungjawab portal berita terhadap artikel yang dihantar oleh penyumbang.

‘Pendapat peribadi’

Perkara ini dibangkitkan susulan satu soalan daripada peserta berhubung jika penerbitan dalam talian boleh terlepas daripada liabiliti fitnah hanya dengan menyatakan kandungan artikel merupakan pendapat peribadi penulis.

Mengenai isu itu, Harmindar berpandangan portal berita tidak boleh berselindung di sebalik penafian sedemikian kerana merekalah yang menerbitkan artikel tersebut.

"Saya rasa itu tidak mencukupi. Anda tidak boleh letakkan klausa begitu dan berharap penerbit boleh lepas tangan.

"Tidak, saya tidak fikir begitu. Itu pandangan saya, (tetapi) mungkin saya silap,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen